Tuesday, June 30, 2009

Anak mama dah balik :)

Tengah happy sangat sebab dua anak dara saya dah balik bercuti 2 bulan. Pagi tadi saya jemput mereka di Airport Kuantan. Mereka tiba semalam di KLIA tapi connecting flite malam dah tak de , jadi mereka tidur di rumah kakak saya dan pagi tadi ambik flite dari KLIA ke Kuantan.

Genap 10 bulan mereka di luar negara , terasa sekejap betul masa berlalu. Masa nampak mereka pagi tadi rasa macam tak percaya mereka dah ada bersama saya semula. Masing2 ada 2 tahun lagi untuk menamatkan pengajian InsyaAllah.




Esok bermulalah ' Charlie's Angels ' beraktiviti bersama. Tadi pun dari airport dah start merambu bersama , shopping sikit2 di Kuantan Parade. Bila ' Charlie's Angels ' mula 'menakluk ' Kemaman dan kawasan persekitaran, memang akan 'happening ' lah ...hihhi .

Aktiviti blogging ini pun akan kurang aktif buat masa ini .

Sunday, June 28, 2009

Hadiah antarabangsa.....

Pagi lepas breakfast nasi kerabu dan air suam saya ke Kerteh seperti biasa setiap hujung bulan jadi 'ceti' kutu . Bukan tak boleh bank-in dalam akun saya tapi saja je saya yang nak kutip duit tu , dapat jugak melencong jumpa kawan2 lama di sana.

Singgah jumpa Mulan di pusat servis kereta sebab dia nak berjalan jauh esok, so kena kasi itu kereta bling-bling di jalanraya . Memang dah janji dengan Mulan kalau saya ke Kerteh nak jumpa dia sebab ada kiriman hadiah dari Queen Elle yang dikirim pada Mulan semasa Mulan bercuti ke Singapore baru2 ni. Sempatlah sembang sekejap dengan Mulan bawah pokok sementara tunggu kereta Mulan siap dicuci . Ada jugak buah tangan dari Mulan . Thanks a lot dear .


Hadiah dari Mulan (Vietnam mari ) .

Hadiah dari Kak Elle ( Singapore mari ) .



Lepas tu ke rumah maklang pulak. Singgah kejap sebab maklang kerja dan hanya bibik yang telah diamanahkan untuk menyampaikan duit kutu dan beberapa barang termasuklah hadiah dari maklang dan jugak dari Simah yang dikirimkan melalui maklang semasa maklang singgah Istanbul cuti baru ni.

Hadiah dari Maklang ( Saudi mari )..air zam-zam terlupa masuk dalam gambar .



Hadiah dari Simah ( Turki mari )



Terimakasih sahabat2 sekelian yang sudi menghadiahkan saya dengan pelbagai hadiah, semoga persahabatan kita berpanjangan InsyaAllah. Walaupun kalian jauh di mata namun akan sentiasa tetap di hati.



Lepas tu baru singgah rumah kawan2 lain yang main kutu dan jugak yang tak main kutu. Hajat nak singgah rumah kakliza tapi no hp hilang pulak dari handset saya dan masa tu dah dekat jam 11 , so cancel lah kali ni. InsyaAllah saya nak jumpa kakliza sebab nak beli buku2 masakan kakliza dan dapatkan otograf chef nya sekali.



Habis urusan saya singgah sebentar di Mesra Mall , mana lagi kalau tak ke Popular cari buku. Mula2 pegang 1, pastu 2, pastu 3 , pastu 4 buah buku . Lepas tu round balik ...letak balik 1, pastu 2, pastu 3...akhirnya beli 1 saja . Sebabnya kalau beli banyak karang memang tak buat keje lain dah selagi tak habis baca semua mesti nak mengadap buku2 tu aje.

Novel baru beli ... cuba nak baca lambat-lambat biar lambat sikit habis...hihi .


Lepas tu (banyaknya lepas tu !! ) , singgah SR nak beli kek , beli 3 slices untuk 3 beranak dan vanilla milkshake ( sorry ye doktor, memang saya teringin sangat nak minum milkshake ni, ubat saya makan doktor , ampun !! ) .



Sementara menanti milkshake saya siap, ada sorang adik ni senyum je pada saya dari luar SR, saya balas je senyuman manis dia tu. Lepas tu ( lepas tu lagi!! ) dia datang dekat dan bagi salam dan tanya adakah saya Kak Rina . Saya terkejut macamana dia tau nama saya, mula ingatkan dia bekas anak murid saya yang memang ramai di Kemasik dan Kerteh , tapi kalau anak murid mereka panggil saya Teacher Ina/Raja Sarinah .

Dia kata dia baca blog saya dan dia ada juga tinggalkan komen di blog /shoutbox , Nita namanya. Dia pun tinggal di Kemaman dan lepas tu ( lagi!!!!! ) suami dia juga datang bertemu saya . Mereka berdua cuti hari ni sebab ada urusan. Mula2 Nita kata dia nampak saya dan dia bagitau suaminya yang dia pasti itu KakRina sebab saya selalu tulis dalam blog saya selalu ke MM. suami Nita yang kata pergilah tegur saya . Manis dan baik je Nita dan suami. Tak sangka ada juga orang kemaman yang kenal wajah saya melalui blog. Rasa glamour lah pulak....hihihi. Pada Nita dan suami selamat berkenalan, ada masa singgahlah rumah akak ye.

Start baca novel sambil nikmati pantai yang damai....jangan jeles ye sapa yang tinggal jauh dari pantai .




Lepas tu (sorrryyy) singgah di pantai dekat kemasik dan start baca buku yang dibeli tadi sambil makan kerepek ubi yang kawan saya di kerteh beri dan minum milkshake. Damai je rasa masa tu....


Lepas tuuuuuuuuuuuuu baru balik rumah, ngam-ngam dah nak masuk zohor.

Saturday, June 27, 2009

papa ....abah ....ayah

Pagi ni Mimi dan Izzat ada kelas macam biasa, kelas ganti cuti raya nanti . Saya dah siap2 nak keluar hantar mereka , rupa-rupanya ayah anak2 jiran saya dah ready tunggu kat luar rumah nak hantar mereka ke sekolah. Balik nanti pun katanya biar dia je yang ambik budak2 tu semua. Biasanya saya hantar dan ambil anak2 sekolah rendah pukul 3.15pm dan pukul 6pm jiran saya akan ambik Izzat dan anaknya yang sekolah menengah sebab kelas izzat hanya tamat jam 5pm dan dia selaunya sempat main bola sebelum balik rumah.

Anak2 jiran saya yang berlainan lorong kadang2 tumpang saya balik sekolah . Mak ayah mereka telah bercerai masa saya di Jordan . Ayah mereka telah kahwin lain tapi masih rapat dengan anak2 dan juga ex-wife dia. Memang bekas isteri dia kata yang mereka berpisah cara baik. Saya tak tanya pun apa punca mereka bercerai sebab dia pun tak cerita . Cuti sekolah baru ni saya dapat kad jemputan kenduri doa selamat sempena pernikahan jiran saya tu. Kami tak dapat hadir sebab ke Medan . Saya hanya sempat belikan sebuah buku berkaitan kebahagiaan rumahtangga dan hantar hadiah tersebut sebelum kami bercuti . Pagi tu jiran saya tu dah siap2kan beg2 anak2 dia untuk dibawa bercuti oleh bekas suaminya . Baiknya kata saya dalam hati. Cuti dan hujung minggu si bapa yang tinggal di bandar lain akan meluangkan masa bersama anak2.

Baru ni masa anak2 tu menumpang kereta saya pulang dari sekolah , si kakak ada beli bookmarks dari sekolah dan dia kata 1 nak bagi papa, 1 lagi nak bagi abah. Saya saja tanya papa tu sapa. Dia jawab papa adalah ayah yang baru, abah ayah yang lama . Baik budak tu, sayang kedua-dua bapanya tak kira yang baru atau yang lama. Papa baru juga tak tinggal di sini, dia tinggal jauh di bandar lain jugak dan punya anak 2 . Abah lama dah kawin lain tapi belum ada anak lain lagi.

Pada saya kasih sayang ibu dan bapa amat penting dalam mendidik anak2 walaupun dalam keadaan sudah berpisah dan tinggal berjauhan . Terasa terharu dan ikhlasnya hati anak2 kecil tu bila berkata tentang papa dan abah mereka yang merupakan ayah mereka semua.

Friday, June 26, 2009

MJ yang kutinggalkan ...........

Pagi ni otot lengan rasa ringan dan dah berkurang sakitnya . Keluar sarapan pagi dan ke SMA Al Falah (sekolah Maya dulu ) untuk ke pesta buku yang diadakan di situ. Izzat dan mimi beli beberapa buah buku rujukan dan lepas tu singgah di kedai bahan kek . Cadang nak buat cupcakes petang nanti.

Balik rumah , on pc dan tup-tup nampak berita tentang kematian Raja pop Michael Jackson . Jika berita beliau memeluk Islam dan menukar nama kepada Mikaeel bulan November 2008 adalah benar , Al Fatihah saya sedekahkan kepada MJ .



Saya 'kenal' MJ lama dulu semasa di sekolah menengah dan bila masa di US (83-87) memang tengah tergila-gilakan nyanyian dan tarian dari lagu2 MJ. Memang salah satu hobi saya dulu adalah menghafal lagu dan menari lagu yang rancak2 termasuklah lagu "Beat it " nyanyian MJ. Saya siap berpakaian seperti MJ dan hafal rentak dan steps "beat it " .

Setelah saya bertudung dan mengikuti usrah seorang brother dari Mesir , MJ saya tinggalkan . Tiada lagi "beat it " atau lain2 lagunya yang saya ikuti . MJ hilang dari hidup saya dan ingatan saya . Saya akui MJ seorang penghibur yang tiada bandingannya.

Itulah kehidupan, sejauh mana hebat sekalipun , bila tiba ajal tiada siapa dapat menahan .

Thursday, June 25, 2009

Lembutkan otot

Pagi ni baru balik dari klinik. Kaki dah sakit bawah betis pulak dan yang lebih teruk, sakit di lengan dan bahu yang sudah berlanjutan selama lebih 4 bulan masih belum baik. Nak pakai dan buka baju dan nak garu belakang memang sakit terutama tangan kanan. Dah urut dah macam yang disarankan oleh doktor , dah makan ubat dah dan dah habis dah ubat, sakit masih terasa.

Pagi tadi doktor bagi ubat lembut otot, vitamin untuk otot dan ubat sakit otot. Try tengok berkesan tak. Kalau tak baik jugak memang kena pergi jumpa pakar tulang . Dulu doktor suruh dah jumpa pakar tulang, saya yang malas. Kali ni tengok camne .


Jadi hari ni kena rehat lah nak biar otot2 lengan ni lembut , InsyaAllah.

Wednesday, June 24, 2009

Tuah blogging

Pagi tadi bangun tengok ada sms dari Simah Turki bagitau yang dia lunch dengan Zaid , Azra dan Umair di Sultan Ahmed area di Istanbul . Memang Zaid ke Turki bawa pelajar2 bercuti ke sana dan saya bagi no telefon Simah, just in case Zaid sempat berhubung mungkin dapat bertemu Simah.Simah pun kata dia pun teringin nak bertemu, Alhamdulillah.

Mak yang kenal dulu bloggers , anak2 yang bertemu dulu. Itulah kuasa blog ni, merapatkan hubungan sesama insan tanpa mengira usia dan di mana sahaja.

Saya kenal Simah tahun 2006 masa mula2 kemaruk blogging di Amman . Pastu ada sesekali berYM ( jarang berchatting sebab masing2 suka "invisible" dan cek laluan dan jaringan antarabangsa ). Pernah saya saja tegur di YM, Simah pun ada kata " Akak pun invisible jugak . " Saya jawab..." Akak jadi polis trafik alam maya ..hihi . "

Hingga kini tak sempat jumpa Simah walaupun rasa dah rapat sangat dengan Simah dan family.

Tup-tup Zaid yang dapat jumpa dulu, dah rezeki mereka .

( gambar belum dapat lagi ) .





Satu lagi pasal blogger Jhaz . Saya kenal dia lebih awal dari Simah dan semua bloggers yang lain sebab blog dia banyak kisah pengembaraan dia di bumi Eropah. Bab berjalan ni memanglah saya minat.

Nak dijadikan cerita saya juga berhubung kadang2 melalui YM dan emel dan memang rasa kenal sangat dengan Jhaz sebagai anak yang pintar dan matang .


Anak saya Safiyyah /Sofie yang punya tuah dapat bertemu Jhaz semasa Sofie bercuti di musim dingin awal tahun ini semasa dia dan kawan2 singgah di Dublin, Ireland. Mak yang kena dulu, anak yang dapat bertemu.

Sofie dan Jhaz di Dublin, Ireland.




Mei lalu Jhaz ke Jordan dan Zaid pulak bertuah dapat bertemu Jhaz dan sempat bawa Jhaz berjalan-jalan ke Petra . Itulah hakikat alam maya , bertemu dan bersahabat tanpa mengira waktu dan di mana.


Zaid dan Jhaz di Petra, Jordan


Harap2 saya dapat bertemu Simah dan Jhaz suatu hari nanti InsyaAllah.

Tuesday, June 23, 2009

Subway

Bawah lutut masih sakit walaupun dah tiga hari berturut-turut saya jogging di Pantai Teluk Mak Nik pagi2 lepas hantar anak2 ke sekolah. Sebulan saya cuti jogging sebab busy bila Darling ada di sini dan ditambah pulak dengan JJCM masa cuti sekolah. Bila start balik jogging memang terasa sakitnya kali terutama di bahagian lutut.

Lepas jogging tadi Darling sms bagitau dia baca berita tentang subway ( keretapi metro) di 'kampung ' kami di Washington DC berlanggar dan 6 disahkan terbunuh dan puluhan lagi cedera.



Keretapi bawah tanah yang juga dikenali sebagai subway di DC merupakan satu pengangkutan awam yang amat penting dan ianya amat luas jaringan subwaynya dan dulu masa kami belajar di sana ( 83 - 87 ) hanya ada 4 lines tapi 2001 masa kami ke sana sekali lagi subway telah ada 5 lines.



Dulu untuk ke International Centre for Language Studies saya ambil subway dari station Rosslyn ( blue /orange line ) ke Dupont Circle ( red line ) . Kemudian untuk ke American U saya ambil orange line ke ke Farragut West dan sambung dengan metro bus ( free with subway transfer ticket ) ke unversity. Darling saya pulak ambik subway dari Court House station ( rumah kami bila telah berkahwin ) ke station Foggy Bottom George Washington University. Selama hampir 3 tahun itulah pengangkutan utama kami sebelum kami membeli sebuah kereta Ford Lynx iaitu semasa telah ada Zaid dan Safiyyah .



Perkhidmatan subway di DC amat mudah dan berguna buat warganya. Sedih bila baca berita kemalangannya kerana tidak sepatutnya ia berlaku memandangkan sistem yang amat dikenali dengan tepat dan dan cemerlang telah beroperasi semenjak 1976 .


misai2 yang macam nilah yang buat kami sakit perut menahan nak ketawa tiap kali bertemu mereka dalam subway ...misai straight tu taklah sampai panjang sangat macam dalam gambar di atas ..hihi.


Terlalu banyak kenangan tentang subway di DC ni ... terutama semasa saya masih anak dara .. hampir tiap hari kami berlari2 mengejar subway dan jugak senaman kaki dengan berlari menuruni escalator yang tingginya yang amat tinggi ( saya rasa escalator tertinggi yang pernah saya lihat ) . Di dalam subway jugak selalu kami bertemu dengan 'pakcik misai straight ' dan pakcik misai melenting bergulung ' yang pasti tak tertahan kami daripada gelak sebab memang amat funny gaya misai pakcik2 tu . Dalam subway jugaklah selalunya alarm 'bip, bip bip 'dari mulut kami berbunyi menandakan adanya a very hensem guy berhampiran kami ( memang dah buat system 'bip, bip, bip' sesama kami bila ada hensem guy dekat dengan kami ). Masing2 pun akan mengadmire that hensem guy . Kalau ada makcik tua yang stare semacam je kat kami cepat2 menjarakkan diri kami dan takkan duduk dekat makcik2 tu.

Itulah kisah sedikit kisah masa dulu2 daam subway...orang KL tentu banyak cerita tentang LRT dan 'subway' di kotaraya itu.

Sunday, June 21, 2009

The Best Father ever....

Tahun ini sambutan Hari Bapa jatuh pada 21 Jun bagi kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Walau pun begitu bagi saya tiada sambutan diadakan . Abah saya telah pergi buat selama-lamanya sejak 13 tahun yang lalu . Ayah mertua saya pula memang saya tak pernah kenal dan jumpa sebab dia telah meninggal dunia sewaktu suami saya berusia 14 rahun.

Nak sambut dengan suami saya yang juga bapa kepada 5 orang anak kami , dia pun dah balik bekerja di UAE .

Apapun "Selamat Hari Bapa" buat suami tercinta .




Suami saya yang juga bapa kepada 5 anak kami adalah seorang bapa yang terlalu baik dan penyabar. Dialah juga bapa yang menyambut kelahiran kelima-lima anak kerana dia sentiasa ada di bilik bersalin dalam setiap kelahiran termasuk di bilik bedah semasa saya bersalinkan Mimi secara C-section . Dialah juga bapa yang tidak kekok menjaga anak2 semasa mereka masih bayi. Semua perkara berkaitan anak2 memang dia banyak membantu . Malam2 bila anak2 menangis tak lena tido dialah yang banyak memujuk dan mendodoi anak2 hingga mereka selalunya terlena di atas dadanya.

Suami saya hingga kini masih kekal sebagai bapa yang teramat baik pada semua anak2nya. Kesabarannya memang tiada tandingan berbanding saya yang cepat naik angin dan garang pada anak2 semasa mereka kecil2 dulu.

Buat darling ....

On behalf of all our children ( kalau ada yang tak setuju sila bersuara ye ...hihi ) ... I am thanking you for being The Best Father ever . May Allah Bless You Forever. Amin.

Friday, June 19, 2009

Masih jauh lagi perjalanannya......

Nampaknya tak de sapa yang teka dengan tepat gambar yang saya letakkan dalam n3 lalu. Sebenarnya ia adalah gambar nangka yang busuk dan berlubang di luarnya. Sengaja saya letakkan gambar yang tidak boleh di enlargekan...hihihi.

Pagi tadi saya dan Mimi ke airport Kuantan hantar Darling balik kampung arab dia. Sebulan lagi baru jumpa balik InsyaAllah. Ni dia dah dalam perjalanan dari Singapore ke Abu Dhabi ( dia naik Singapore Airlines ) . Jumpa lagi InsyaAllah.

Lepas balik dari Kuantan saya terus ke sekolah Mimi untuk sign buku rekod Mimi untuk exam semester pertama sebelum cuti baru ni. Alhamdulillah MImi dapat no 2 , 1 markah je lagi untuk dapat no1...frust jugak dia sebab dia target dapat no1, dah tak de rezeki . Semua 12 subjects ( 5 akademik dan 7 subjects agama ) dapat 12A , Alhamdulillah.

Apapun saya doakan agar Mimi terus kekal cemerlang dalam pelajaran InsyaAllah. Baru tahun 1 dan semester 1, masih terlalu jauh lagi perjalanan nya......

Malam ni tido dengan Mimi je sebab Izzat tido di sekolah, ada program sekolah, lepas subuh esok baru dia balik .




Selamat berhujung minggu. Bagi yang berjalan minggu ni renungkanlah gambar dan pesanan yang saya snap di Medan baru ni.

Tuesday, June 16, 2009

Apa Benda Tu ????

Saya tangkap gambar ni selepas darling nampak benda ni masa kami nak ke cafe di Hotel Carolina..... Samosir Island.... suspen betul dibuatnya.... ( dahlah memang tempat ni dulu terkenal dengan orang makan orang !!! )







Teka lah ...apa benda yang di bawah kayak tu ?????

Sunday, June 14, 2009

Mari kenali ..... B1 & B2

Perjalanan dari Parapat ke Brastagi ambil masa hampir 3 jam sebab jalannya teruk berlubang2 . Di sebalik beberapa tempat menarik yang kami singgah hari ni saya nak cerita tentang beberapa makanan pelik yang dimakan oleh kaum Batak Karo yang ramai menetap di sekitar Brastagi dan Parapat .

Batak Karo beragama Kristian Protestant dan antara makanan kegemaran mereka adalah B1 dan B2 ....

Bukan B1 B2 Bananas in Pyjamas .

B1 = biang panggang ..biang dalam bahasa batak adalah anjing...so bila nampak signboard B1 ...bermakna ada anjing panggang/goreng dijual di gerai2 itu .





B2 = babi panggang..sebab ejaannya ada 2 b .... kalau nampak gerai yang tulis B2 bermakna ada babi goreng, babi panggang dan segala jenis menu babi ada di situ.




Bila dah lalu banyak gerai yang bertulis B1 dan B2 selera saya macam tertutup terhadap sebarang daging termasuk ayam ... apa tah lagi kerepek2 yang dijual semuanya saya rasa loya nak beli atau nak makan.

(nak tengok tulisan B1 dan B2 kena klik kat gambar baru jelas nampak )

Cukup dulu pasal B1 dan B2 ....

Harini nak masak mee udang ... hanya guna udang tak de guna daging... senang aje rupanya cara membuatnya ( refer internet jugak ! ) .

Saturday, June 13, 2009

Seketika di negeri kelahiranku

Cuti Fasa1 adalah cuti di negeri kelahiran saya , Perak. saya hanya pernah tinggal di Ipoh selama 5 tahun sahaja. Selain itu saya membesar di merata negeri dan yang paling lama adalah di Kemaman . Tahun ini genap 20 tahun saya menetap di Terengganu , 4 tahun di Kerteh 16 tahun di Cukai Kemaman.





Sempat makan2 di rumah abang saya di Manjoi, lama tak jumpa abang sekeluarga... sedap semuanya .



nostalgia pokok2 besar di Taman Tasik Taiping di mana arwah abah selalu bawa kami ke sana semasa kami menetap di Taiping masa kecil dulu . Agaknya pokok2 ni dah berapa umurnya..memang besar betul !



Mee udang Kuala sepetang .. maaf saya cedok gambo dari website orang lain sebab kami lupa langsung nak tangkap gambar sebab terlalu excited nak rasa mee yang penuh udang besar ...udang kecik RM7 sepinggan, mee udang besar RM11 sepinggan, berbaloi sebab udangnya banyak dan fresh .



Seketika bersembanag bersama Datuk Seri Nizar dan keluaarga di kediaman mereka di Sg Rokam Ipoh. DS seorang yang peramah dan merendah diri tapi memang jelas tubuhnya susut setelah menjadi pemimpin terpenting negeri. Semoga DS dan keluarga diberi kekuatan menghadapi segala macam dugaan dan cabaran InsyaAllah.





Selamat berhujung minggu...kami esok dah start sekolah semula.

Friday, June 12, 2009

Danau Toba .... Samosir Island



( n3 ini panjang...buat simpanan catatan perjalanan kami )



Perjalanan kami bermula jam 6 pagi dari Sungai Besi dihantar oleh anak sedara saya Syafiq ke KLIA dan menaiki pesawat MAS dan tiba di Polonia Airport Medan 8.50 pagi waktu Medan .


Eddie (berkaca mata ) dan Putra menanti kami di Polonia Airport Medan.



Kami disambut oleh dua orang pemuda yang memegang kertas yang tertulis nama darling. Eddie anak pembantu rumah mak mertua saya yang menanti kami kerana ada satu beg kiriman dari ibunya yang kami bawa dari Malaysia. Putra pula adalah pemandu pelancong yang bertugas membawa kami melancong sebagaimana yang telah diatur oleh syarikat pelancongan yang kami berurusan secara online..



Bertemu seketika dengan Eddie dan kami terus menaiki Kijang ( unser ) dibawa ke Parapat yang terletak di pinggir Tasik Toba yang jauhnya sekitar 4 jam perjalanan dari Medan.. Saya terlelap seketika kerana masih mengantuk akibat bangun awal pagi dan bila terjaga terkejut sebab jalanraya masih seperti sebelum tertidur…. Jalan 2 lanes yang agak sempit dan kualiti jalan yang kurang bagus. Saya duk bayangkan macam lebuhraya Jakarta ke Bandung yang kami lalui tahun lalu semasa ke Pulau Jawa. Rupanya di Pulau Sumatera tiada highway dan jalanrayanya memang teruk. Bayangkan jalanraya utama dari satu bandar besar ke bandar besar yang lain menggunakan jalanraya ‘kampung’ yang sesetengahnya berlubang teruk .


Tiba di Parapat kami singgah solat di masjidnya sempat melawat Rumah Pengasingan Presiden Sukarno yang dilakukan oleh Presiden Suharto setelah mengambil kuasa dahulu. Di situ Sukarno diasingkan tinggal seorang diri . Namun pada saya pusat pengasingan ini amat cantik ,sebuah banglo serta taman yang cantik betul2 atas bukit di tepi Danau Toba , bukanlah seperti penjara berdinding simen semata-mata..


Rumah pengasingan Presdien Sukarno serta pemandangan di situ.




Lepas tu sempat menyinggah di gerai2 jualan pakaian dan cenderahati dan nak tau tak….sepasang t-shirt dan seluar pendek Danau Toba yang yang pertama saya beli adalah untuk sapa agaknya ???


UMAIR lah sapa lagi….hehehe.


Di sini gerai-gerai banyak menjual sweaters dan mufflers kerana di sini tanah tinggi dan Danau Toba terletak 1000m dari paras laut . Bayangkan tasik air tawar bekas kawah gunung berapi di ketinggian 1000m…sungguh menakjubkan. .



Ferry penuh semasa ke pulau... hampir senja masa tu...


Kami menyeberangi Danau Toba dari pelabuhan tanah merah di Parapat ke pelabuhan tanah merah juga di pekan Tomok di Pulau Samosir. Oleh kerana kami akan bermalam 2 malam diatas pulau, kami menaiki ferry yang boleh membawa kenderaan sekali ke sana . sejam perjalanan ke pulau dan pemandangan dari tengah tasik mat-amatlah cantik . Saya tidak menyangka bahawa Pulau Samosir yang dikelingi air Tasik Toba lebih besar dari Singapura. Jadi bayangkjan betapa besarnya tasik tersebut, macam laut . Penduduk Pulau Samosir majoritinya adalah dari suku kaum Batak Toba yang beragama Kristian dan di sebalik pulau pula adalah Batak Mndaling yang beragama Islam.


Kami bermalam di Hotel Carolina di Tuk Tuk di tepi Tasik Toba . Boleh kedengaran bunyi air dari bilik kami dan suasananya amat nyaman dan cantik. Bilik hotel tiada kipas dan air-cond sebab memang dah semulajadi sejuk di pulau tersebut . Pemandangan di pulau itu buat saya terasa macam berada di fantasy island . Natural beauty yang segar dan tidak tercemar langsung. Kalau tercemar pun hanya kerana pekan Tomok agak kotor .





Sekitar hotel kami dan bilik kami nun di atas betul2 sebelah tasik .


2 hari di pulau kami sempat round pulau yang punya jalanraya 1 lane semuanya di pesisir pulau . Deretan rumah batak di celah2 bukit dan kubur ahli keluarga yang berlambangkan salib bersepah di sana sini kerana mereka biasanya membina perkuburan ahli keluarga di atas tanah masing2 melambangkan yang mereka tidak akan menjual tanah tersebut sampai bila2 .


Kami juga melawat Tomok Village makam Raja Sidabutar dan jugak ke Ambarita Village di mana kesan sejarah lama kerajaan Siallagan dan kawasan di mana dilakukan hukuman terhadap penjenayah di masa lampau . Dari sini timbul kisah kaum Batak makan orang.



Di atas ... Makam King Sidabutar , Tomok Village.





Ambarita Village ...pusat kerajaan lama Raja Siallagan


Kisahnya bukan mereka ( Batak Toba ) memburu manusiai lain untuk memakan daging manusia tapi apabila seseorang penjenayah di dapati bersalah dia akan di kurung dan dipasung terlebih dahulu selama beberapa bulan untuk mengenalpasti samada dia masih punya sebarang ilmu batin . Selepas itu barulah dia dihukum pancung dan selepas itu mayatnya akan diletakkan di atas batu leper untuk dcincang halus dan diperah asam di atas mayatnya sebelum diagih-agihkan kepada penduduk kampong untuk dimakan sebagai mengajaran kepada sesiapa yang berani melakukan sebarang jenayah dalam kerajaan raja tersebut.


tempat perlaksanaan hukuman di jalankan


Batu di mana kepala penjenayah dipancung ( di atas ) dan mayat dicincang (di bawah )





Pagi ke 3 kami menaiki ferry semula ke Parapat dan perjalanan diteruskan ke Brastagi ….


Ferry agak kosong semasa kembali ke Parapat...awal pagi...




Wednesday, June 10, 2009

Fasa 2

Cuti Fasa 2 berakhir semalam. Kami tiba di KLIA jam 11.15 pagi dan singgah ambik kereta di rumah kakak saya di Sungai Besi dan terus pulang ke Kemaman dan tiba malam tadi .

Polonia Airport Medan meyambut kedatangan kami.


Fasa 3 diisytiharkan batal sebab masing2 dah amat keletihan terutama wanmommy . Fasa 3 cuti diilhamkan secara spontan oleh darling dan destinasinya ialah selatan semenanjung dan Singapura . Memang dah tak larat lagi nak melancong ditambah dengan bekalan pakaian yang habis setelah 12 hari merayau ke sana le mari.

Pekan Tomok di mana ferry berlabuh di Pulau Samosir Danau Toba setelah belayar dari Parapat .

Danau Toba dari halaman Hotel Carolina di Pulau Samosir .

Badan masih letih dan selesai mengemas beg2 serta kain busuk tadi memang rasa tak berdaya dah . Jadinya n3 kali ni saya hanya ingin paparkan gambar2 pemandangan sekitar percutian kami ke Medan, Parapat, Danau Toba termasuk Pulau Samosir dan Brastagi . 6 hari 5 malam semuanya dengan 2 malam di atas Pulau Samosir , 1 malam di Brastagi dan 2 malam di Medan.


Perumahan kaum Batak di atas Pulau Samosir (pulau di tengah2 Tasik Toba ) .

Pemandangan di Parapat, Danau Toba , Pulau Samosir dan Brastagi amat menakjubkan . Memang terlalu amat cantik dinikmati. Subhanallah.

Latarbelakang Gunung Berapi Sibayak dari atas Bukit Gundaling di Brastagi.


Medan bukanlah syurga membeli-belah sebagaimana yang saya sangkakan. Tak sama macam Jakarta dan Bandung. Kurang ' ummppphhh ' bershopping di Medan .......membiak jugak bagasi walaupun tak banyak sangat shopping..hehehe.

Berlatarbelakangkan air terjun SiPiso-Piso yang airnya mengalir ke Tasik Toba .


Nanti saya ceritakan pengalaman melancong di sana ..syukur Alhamdulillah dapat kami kenali negara orang walaupun sekadar beberapa hari di sana.

Wednesday, June 3, 2009

Fasa 1

Salam cuti dari Desa Bayu , Bota. "Sel Kong Beruk Beng " (pinjam kata-kata ni dari Pakman Laksam ) kat Bota ni agak kong, buatkan saya jarang beronline . Cuma nak update kisah cuti Fasa 1 kami berempat sebelum sambung cuti Fasa 2 InsyaAllah.





Aktiviti cuti Fasa 1 :





1/ Ke Meru Height' s Ipoh ziarah ibu mertua yang tinggal di rumah abang ipar saya, tidur 2 malam di sini.





2/ Ziarah rakan mak saya di Manjoi yang meninggal dunia akibat sesak nafas secara tiba2. Sempat saya bersama ketika jenazah Opah Ani dimandikan. Opah Ani rakan baik mak saya semenjak saya kecil lagi . Mak saya yang uzur yang ketika ini tinggal di rumah kakak saya di Bota tidak dapat datang ziarah jenazah.





3/ Kami ke Sungai Rokam ke rumah DS MB Nizar bertujuan menghantar barangan Zaid untuk di kirim melalui Hazimin (menantu MB yang jugak rakan Zaid ) yang akan ke Jordan minggu depan. Kebetulan Datuk Seri ada di rumah dan kami sempat berbual seketika .





4/ Kami terus ke Manjoi ke rumah abang saya untuk bertemunya yang saya belum sempat bertemu sejak dia pulang dari Haji awal tahun ini.





5/ Kami juga sempat ke rumah arwah YB Roslan ( ahli Parlimen Bukit Gantang yang telah meninggal dunia ) . Saya kenal rapat dengan 2 anak arwah yang menuntut di Jordan . Alhamdulillah anak2 arwah tenang menjalani hidup tanpa bapa tercinta.





6/ Kami jugak ambil kesempatan untuk makan mee udang di Kuala Sepetang dan pusing2 Taiping > Cari jugak popia sedap yang pernah blogger abang long sebut tapi tak jumpa . Nak buka lapotop dan buka blog abng long malas pulak rasa. Mungkin lain kali kami akan cari popia basah itu. Mimi siap kata nanti nak makan lagi mi udang kat Kuala Sepetang.





7/ Last sekali kami ke Bota ziarah mak saya yang tinggal di rumah kakak saya. Kami pun dah dapatkan pembantu Indonesia untuk tolong menjaga mak semasa kakak keluar bekerja. Saya nak bawak mak balik Kemaman tapi mak tak nak sebab jauh dari sedara mara di Ipoh .





Pagi ni kami akan ke KL bertemu kakak dan adik saya dan pagi esok kami akan mulakan cuti Fasa 2 selama 6 hari di negara jiran yang hampir... Pulau Jawa dah kami lawati tahun lalu, kali ni kami akan Pulau Sumatera pula.



Jumpa lagi.... lepas ni ada cuti Fasa 3 pulak InsyaAllah.



Gambar2 takleh nak upload sebab sel kong beruk beng lembap sangat.