Wednesday, April 16, 2008

SERBA SALAH

Petang tadi berbekalkan sedikit kuih muih yang saya beli dari gerai kuih saya terus ke rumah Am ( yang saya ceritakan kisah mak nya sakit gila meroyan ) .Dah banyak hari hati saya nak sangat singgah di rumah Am bertanya khabar mereka sekeluarga.

Setibanya saya di situ saya dapati kereta waja mak Am ada ..... saya terus bagi salam dan mak Am terus jemput saya masuk .Dia berkemban kerana katanya dia baru je sampai rumah ( 4.40 pm ) dan baru nak masuk bilik air . Dia silakan saya duduk tapi membatalkan niatnya sebab kusyen dan semua kerusi meja makannya penuh dengan pakaian yang tak berlipat dan berterabur. Memang macam kedai dobi.. Saya pun kata tak pe tak payah duduk sebab saya nak singgah sebentar je bertanya khabar.

" Saya dah kerja sekarang kak, " kata mak Am .

Saya sedikit terperanjat sambil kata " oooo" saja.

" Saya kerja di TADIKA ****** , " mak Am sambung .

Saya jadi lebih terperanjat sambil kata, " Aaahhaaaaa , dah lama ke kerja situ ?"

" Baru bulan ni ( April ) . " katanya lagi.

Saya terperanjat kerana tak sangka dia bekerja di tadika yang kawan saya adalah pemilknya dan sekolah tadika ini baru dibeli tahun lalu dari sahabat saya yang sorang lagi yang sudah berpindah ke KL. Tapi lepas mak Am kata dia dah bekerja saya terus bersangka baik, mungkin dia dah sembuh dari 'penyakit' nya.

Bila dia terus bercerita yang dia balik lambat hari ini kerana kena siapkan peralatan untuk pendidikan seni esok hari dan dia pergi ambil anak kembarnya di sekolah pukul 4 petang sedangkan si kembar darjah 2 tu keluar sekolah jam 1 tengah hari. Dia kata puas dia pusing kawasan sekolah kerana anak kembarnya tiada di mana-mana. TADIKA dan sekolah anaknya tidaklah jauh mana, dia boleh keluar sebentar ambik anaknya .... akhirnya dia kata ada budak di asrama ( sekolah rendah ni ada asrama ) yang bagitau dia anak kembarnya telah dibawa balik oleh guru sekolah yang juga jiran saya dan jiran mak Am.

Waktu dia habis cerita kisah dia biarkan anak kembarnya sampai pukul 4 petang baru diambilnya, saya terus kata dalam hati dia ni belum betul sepenuhnya.

Saya balik dan rasa serba salah.... nak bagitau rakan saya yang empunya tadika (tadika bersangkut paut dengan kanak-kanak..risau saya..) tentang mak Am atau nak biarkan saja mak Am bekerja di situ... setakat ini saya masih taktau nak kata apa...serba salah.

Busuknya Bau..........

Lepas ke gerai itu saya singgah agak lama jugak di sebuah kedai...... bila masuk semula di dalam kereta.... fuhhhhhhh baunya begitu kuat di dalam kereta... sampai di rumah terpaksa buka semua pintu kereta dan boot kereta juga saya biarkan terbuka buat seketika sehingga baunya hilang... bila Izzat balik sekolah lalu di dapur..terus merungut bau busuk... mimi balik mengaji masa ke dapur untuk minum air , dia pulak pot pet pot pet kata bau busuk... apa yang busuk sangat entah... ..


gambar dari internet , camera saya habis bateri tapi durian yang saya beli memang macam nilah isinya dan lemak betul,,,, sedappppppp.

Itulah bila sorang je makan buah busuk ni, masing-masing yang tak makan tu mengutuk saya makan buah busuk... saya pulak teringin sangat nak makan, makan 3 ulas je, lepas tu simpan dalam tupperware kedap bau sebab simpan dalam freezer.... esok pulak makan.... beli 2 biji, nak beli sebiji malu pulak... nampaknya banyak hari lah baru habis ....

Tuesday, April 15, 2008

BULI ..... takkan berakhir....

Hari baru cerita baru.. semua dah tau blog reading level... seronok pulak main-main sekali-sekala ....

Malam kelmarin seorang sahabat bagitau anak jirannya terpaksa diambil di sekolahnya (sebuah sekolah agama ) apabila warden menaliponnya di pagi hari bahawa anaknya pengsan di asrama dan terpaksa di bawa ke hospital. Berkejar ayahnya ke hospital yang dimaksudkan yang 2 jam perjalanan dari rumah.Sesampai di sana alangkah luruh hati bapa melihat keadaan anaknya yang berusia 15 tahun ... anaknya jadi mangsa buli..... habis lebam seluruh badan dan ada bahagian belakang badan yang mengelupas kulitnya....lebam di tangan, di kaki, muka ..boleh kata hanya tak mati sahaja keadaannnya . Dia dibuli oleh 9 orang pelajar lain di sebelah malamnya dan pengsan kemudiannya dan hanya disedari oleh warden apabila tiba waktu solat subuh. Dikatakan anak jiran sahabat saya ni mencuri duit sebanyak RM100 milik pelajar lain sedangkan dia baru menerima wang dari ayahnya ( ayahnya seorang yang berada , executive di sebuah syarikat swasta) .




zwani.com myspace graphic comments


Walaupun pihak sekolah telah membuang kesemua pelajar yang membuli itu, tapi jiran sahabat saya pergi juga membuat laporan polis kerana dia masih tidak berpuas hati dengan penerangan guru di sekolah tersebut dan untuk anaknya di periksa lebih mendalam ( luka/pendarahan dalaman) dia perlu terlebih dahulu membuat laporan polis barulah pihak hospital akan melakukan pemeriksaan lengkap terhadap kecederaan anaknya.

Saya sedih bila perkara begini berlaku.... saya pernah ternampak seorang pelajar sekolah teknik ( bukan di kemaman ) yang lebam-lebam wajahnya dan hingga kini saya masih tidak dapat lupakan wajahnya yang jelas kesan ditumbuk/terajang....

Ibubapa menghantar anak-anak ke asrama untuk dapatkan perkhidmatan yang terbaik, namun masih ada sekolah yang gagal menjamin keselamatan anak-anak yang menjadi mangsa golongan samseng kaki buli .... buli ini takkan berakhir ....
( guess what???? .............. Finally , it's raining here ,yes, this morning , not really heavy.... ALHAMDULILLAH.... )

Monday, April 14, 2008

Elementary / Genius ??????

Akhir-akhir ini saya dapati banyak juga blog yang letakkan 'certificate' blog level di blog mereka. Saya pun ambik sikit masa masuk website ini saja nak main-main cek level blog saya.

Nak tau apa yang saya dapati ????

Blog saya loveujordan dibaginya hanya elementary level.... penat saya mengarang dan manaip pelbagai pengalaman , tahap sekolah rendah yang saya dapat..huhuhu.... maknanya pembaca pun samalah , tahap sekolah rendah.....untuk blog silversarina ini saya diberi college/undergrad level.... okaylah sikit dari elementary level.... saya cek pulak blog maya .. dia punya genius level...fuhhhhh lawan tokeh betul anak I ni.... rasa macam senang je nak faham blog dia, tak perlu jadi genius pun boleh faham.....untuk sofie pulak.. high school level...elok lah dari elementary loveujordan saya...

Cubalah tengok blog anda level pembaca macamana... mesti ramai yang kecewa dan tak kurang jugak yang akan perasan.... hahahaha.... tapi kalau elementary bermakna ramai orang yang senang baca sebab mudah difahami...


Selamat memulakan minggu baru anda dengan senyuman manis .....

Sunday, April 13, 2008

BERAS OH BERAS.....

Beras makanan ruji kebanyakan penduduk asia kini heboh diperkatakan kekurangannya dan harga yang semakin naik serata dunia. Negara pengeluar beras seperti vietnam dikatakan kini tidak lagi mengekspot beras ke luar negara kerana mahu menyimpannya untuk kegunaan tempatan.

Kenaikan harga barang kini menjadi satu fenomena global.. tak kira di mana harga barang keperluan harian terutama bahan makanan meningkat naik dari sehari ke sehari.

Bulan lalu anak saya di Jordan memberitahu harga minyak masak dan gas masak naik harga hampir sekali ganda . Beras memang telah tersedia mahal harganya . Saya tak dapat bayangkan bagaimana rakyat Jordan secara umumnya golongan sederhana dan miskin dapat bertahan dengan kenaikan harga barangan kegunaan harian. Begitu juga anak saya di Ukraine yang bagitau harga beras yang kini berharga RM2.20 akan dinaikkan hingga ke 3 kali ganda dalam masa terdekat. Saya nasihatkan dia agar kerap makan roti kerana ianya lebih murah.

Bagi seisi rumah saya ( 1 orang dewasa yang tak berapa gemar nasi , seorang remaja yang suka diet dan seorang kanak- kanak 6 tahun yang suka roti ) , saya yang hanya menggunakan 4 kg beras sebulan tidak merasakan kesan kenaikan harga beras . Mungkin kebanyakan kita di malaysia juga tidak akan mengeluh walaupun harga beras akan naik dan naik dan naik lagi kerana setakat ini harga beras belum mencapai tahap yang terlalu mahal... namun persoalannya adakah bekalan beras mencukupi buat semua rakyat dan setakat mana negara dapat bertahan dengan bekalan yang ada??

Bayangkan pulak bagi negara miskin yang rakyatnya bukan sekadar sukar mendapat bekalan beras malah jika beras ada pun mereka tidak mampu membelinya ,dengan kata lain mereka akan kelaparan dengan ketiadaan beras dan wang.

Tak siapa tahu sejauh mana krisis kekurangn beras dan kenaikan harga beras akan berlanjutan... renungkanlah buat seketika...

Saturday, April 12, 2008

TGHH .... yang saya kenal....

TGHH....Tuan Guru Haji Hadi Awang adalah tok guru yang saya amat hormati dan sayangi sejak sekian lama. Bila diberitakan tok guru dimasukkan ke hospital akibat minor stroke, terus perasaan saya sedih dan sayu dan berdoa agar beliau segera sembuh.





Saya mengenali tok guru sejak penghujung 80an iaitu semenjak saya mula tinggal di kerteh dan mula terdedah dengan usrah dan perjuangan. Boleh kata kami tidak pernah ketinggalan mengikuti ceramah tok guru walau di mana sahaja di negeri terengganu dan kami akan mengheret 3 anak yang masih kecil , sanggup bermalam di mana sahaja asalkan dapat mendengar ceramah tok guru. Kuliah pagi jumaat akan kami cuba hadiri walaupun Rusila agak jauh.. 2 jam perjalanan dari kemaman, rasa puas hati dapat mendengar kuliah tok guru secara live...





Saya yang ketika itu masih muda begitu meminati tuan guru dan pantang ada peluang pasti saya akan menatap wajah tuan guru, saya akan amati wajahnya bila bercakap dan saya lihat gerak gerinya ... memang saya kagum dan admire dengan beliau... kawan-kawan dan suami pun tahu memang saya minat pada tok guru... minat beliau sebagai pemimpin yang tiada tolok bandingnya.





Oleh kerana dulu saya aktif dalam PAS saya banyak kali berkesempatan menemui beliau secara berdepan... hati ni rasa amat teruja dan sungguh gembira bila berada dekat dengan tok guru... sayangnya pada tok guru.... saya pernah bagitau suami , kalau terjadi apa-apa pada tok guru saya memang akan menangis dan dukacita....


Saya pernah beberapa kali menjadi pengiring isteri beliau , Puan Zainab , kak Nab yang begitu down to earth dan lembut sekali... sentiasa tersenyum... dan tak hairan kalau tuan guru beristeri 2... memang layak dengan perwatakan tuan guru dan kak nab sendiri. Dr Norzita Taat , isteri ke dua tuan guru pernah bersama-sama saya menjadi AJK PEMADAM negeri Terengganu dan beliau seorang yang lembut dan warak ...bertuah tuan guru punya dua isteri yang berakhlak mulia dan bersama-sama berjuang bersama suami tercinta. Saya masih ingat bila tuan guru berkahwin kali ke dua tahun 1991, ramailah kawan-kawan suami yang mengusik agar semua mereka mengikut jejak langkah tuan guru, saya kata balik, itu tuan guru yang penuh ilmu agama di dada... usah dibanding mereka dengan tuan guru....



Sejak saya balik dari Jordan saya belum sekali menghadiri majlis ceramah atau apa-apa program bersama tuan guru... betapa saya merinduinya...


Saya mendoakan agar tuan guru segera sembuh dan terus menjalankan tugas sebagai pemimpin tersohor , demi perjuangan menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia ini..


ALLAHUAKBAR !!!


Friday, April 11, 2008

Banyak yang tak berguna....

Malam tadi 9 malam dah lena..letihnya badan bila khamis ...macam orang bekerja jugak, bila masuk hari terakhir badan dah lembik..... saya pesan pada mimi sebelum tido tutup tv sebab dia nak tengok "bananas in pyjamas" dan izzat pula ada camping di sekolah... saya terjaga jam 4 pagi dan tengok remote control tv ada sebelah badan mimi dan tv pun dah di off kan dia... kami tido di ruang tamu....


Pagi ni nak cakap pasal tv di malaysia kerana saya rasa macam tak de apa sangat yang dihidangkan di kaca tv di sini,,, dah cuba nak tonton cerita melayu, setakat ni yang saya tonton drama slot akasia sebelah petang... yang ceritanya tak masuk akal ... dah cuba nak tonton 360 malam rabu... cukup lah menyampah... hostnya dahlah perasan semacam bila bercakap... kisahnya pulak asyik nak menghina pendatang asing... pada saya isu pendatang asing ni satu dunia pun ada... tak de isunya langsung...kalau tak nak pendatang asing ada , tutup je pintu negara dan halau semua mereka pulang ke negara masing-masing ... kalau tiap minggu mesti ada kisah pendatang asing , meluat dibuatnya... majalah 3 yang dulunya saya minat juga..sekarang dah tak menarik langsung..kisah gajah, kisah apa lagi entah... nona, baru sekali tonton itupun sekerat ( ingat tak kak elle saya kata saya tonton nona?? ) tak habis pun... asyik tunjuk orang kawin... dah lapuk kisah tu... berita... tengok sekerat-sekerat, tapi yang pasti tak pernah tengok sampai habis... ada channels bernama, nampak macam dah sama je dengan tv lain..dah lah ulang2 macam CNN ., nak terloya dah tengok...

Akhirnya channels yang biasa ditonton....

Mimi.. 613/614/615

Izzat.... 813/814/815/701

Saya.... 701/ 553/554 / 106 (okaylah jugak channel oasis ni )


Banyak channels pun tak berapa guna sebab ceritanya banyak yang tak berguna..... pada kami....


( hari ni dan esok, diary penuh ... so.... selamat berhujung minggu... )

Thursday, April 10, 2008

Sayang sudah cukup....

Sibuk hari ni, tak sempat nak bloghop lagi... malam ni baru nak jengok gang alam maya....


Apa perasaan anda bila terima sms begini.... ????



X (nama anak ) dah masukkan RM...... dalam akaun mama sebagai hadiah .....



Itulah sms yang saya terima..... saya sebak.... saya bukan mahu semua ini... saya didik anak-anak hanya kerana Allah... bukan minta dibalas dengan wang ringgit... walaupun dikatakan hadiah..... sayang pada saya adalah segalanya...


mama sayang semua anak-anak mama termasuk menantu..... airmata menitis , rindu pada anak-anak makin terasa.......

Wednesday, April 9, 2008

Apa akan jadi pada AM ????

Lepas menghantar mimi ke kelas kafa , saya pusing ke kanan jalan di kawasan perumahan saya dan tiba-tiba terpandang Am yang sebaya Izzat duduk di kerusi di luar rumahnya masih berpakaian seragam sekolah dan beg sekolahnya ada di kakinya... saya terkilan kerana tidak berhenti bertanya khabar Am kerana saya perlu ke sekolah untuk mengambil izzat dan terus ke Tunas Manja membeli barang-barang untuk perkhemahan izzat malam esok. Hati saya sedikit sesal kerana tidak berhenti menegur Am tadi...

Am seorang remaja yang sarat dengan masalah yang ditimbulkan oleh ibubapanya terutama ibunya yang mengidap penyakit gila meroyan. Kasihan Am. Saya kenal Am sejak dia di tahun 1 dan waktu itu dia bersekolah sama dengan Izzat. Pernah satu ketika ibunya tinggalkan dia hingga larut malam dan dia serta adiknya merayau di persekitaran perumahan kami dan saya kesian lihat kan mereka, saya ajak berteduh di rumah saya...lain pulak jadinya...saya pulak dah jadi regular nanny tak secara langsung.. ..ayah Am selalu outstation... bila tanya mak Am, dia selalu bagi alasan yang dia ke bank..takkan sampai malam dia ke bank...saya masih belum tahu penyakitnya waktu itu.... Am dan adik-beradiknya termasuk sepasang kembar perempuan merupakan anak--anak yang terlalu hiperaktif dan yang paling menyedihkan mereka selalu didera fizikal dan mental... bayangkan mereka dirotan , disebat dengan hanger, dijirus dengan air sejuk pada jam 1 pagi di luar rumah... macam-macam ..kalau saya nak tulis buku tentang keluarga Am , mau 400 mukasurat pun tak cukup...satu kawasan kami tahu hal keluarga Am...

Mak Am bekas pelajar cemerlang di sebuah IPT dan pernah menjawat jawatan tinggi di sebuah bank terkemuka tetapi sikapnya berubah setelah dia beranak tiga... gila meroyan selepas melahirkan anak ke 3 tidak diubati sehingga kini, dia diberhentikan kerja notis 24 jam. Kalau tengok wajahnya yang cantik ( memang cantik !! ) dan masa dia bercakap dengan kita memang orang takkan tau dia ni tak betul... dia pernah parking keretanya betul2 di atas garisan putih di tengah jalan hanya kerana tak de parking di gerai goreng pisang, dia pernah parking betul2 depan bank yang tidak boleh parking dan terus terjah ke kaunter untuk cek samada duitnya telah dimasukkan suaminya yang pada masa itu bertugas di sarawak. Dia pernah accident di highway pantai timur kerana memandu non-stop selama lebih 24jam kerana nak mengejar suaminya yang tak mau balik ke kemaman bila bercuti ke semenanjung... Anak-anaknya sentiasa lapar kerana dia tidak masak dan dibiarkan anaknya kelaparan.. polis pernah datang ke rumahnya kerana jiran komplen yang dia menjerit tengah malam buta..jeritan yang serupa pontianak memaki hamun anak-anak...macam-macam lagi yang tak habis saya ceritakan. Dia pandai berkata-kata dan akhirnya polis balik begitu saja. Jiran di belakangnya jadi mangsa dengan sampah sarap termasuk hampas kelapa dicurahkannya ke dalam pagar rumah jirannya.... tapi rasanya jiran2 dah tak ambik tahu hal keluarga Am ni...

Dia pernah datang bertemu saya dan dia kata dia tak tahan nak layan anak-anaknya sebab mereka nakal...dan dia pernah kata dia juga pernah cuba seterikakan badan suaminya ketika dia naik angin... saya nasihatkan dia agar berhati-hati sebab dia boleh didakwa mendera anak-anaknya ( memang ada sahaja kesan luka di badan dan muka anak-anaknya ) .. dia kata dia tak dapat tahan tekanan membesarkan anak-anak seorang diri.... saya siap kata pada dia yang bila anak-anak dia makin membesar, mereka sendiri akan pergi buat laporan polis jika dia masih terus mendera mereka. Sejak saya balik saya hanya bertemu sekali sahaja dengan mak Am di pasar malam dan seperti biasa dia senyum dan kata kereta kancil dia dah ranap , dan sekarang dia guna waja... memang dia yang selalu geselkan kereta dia dengan bas di bandar kerana selalu bengang dengan bas.. cerita keluarga Am ni macam tak logik...

Saya jadi gerun bila terfiirkan apa akan jadi pada anak-anaknya kerana telah lama mereka membesar tanpa ada sahabat- sahabat yang sudi bermain ( bila main Am dan adik-adik suka buat khianat ) ....

Saya salahkan ibu dan bapa Am, mereka seolah-olah tidak sedar yang ibu Am mesti berubat... dia sakit..... jiwa........

Am masih di luar kerana ibunya merayau entah ke mana dengan pintu rumah berkunci...

Apa akan jadi pada Am ?????

oopppsssss......Saya juga BERMADU....

Mungkin tak siapa sangka bahawa saya yang sedikit kurang senang dengan lelaki berkahwin lebih dari satu atau dengan kata lain wanita bermadu..... kali ini biarlah saya pecahkan rahsia kehidupan saya..... saya juga bermadu..telah 3 tahun saya bermadu....

Saya tidak pernah menceritakannya kepada sesiapa berkenaan madu saya , cuma anak-anak dan keluarga terdekat yang tahu itupun mereka tidak juga mengenali madu saya secara terperinci .

Kali ini saya ingin ceritakan siapa madu saya dan biar bloggers yang menilai nya......

Madu saya , AD berasal dari timur tengah, kan suami saya bekerja di sana , jadi dia akhirnya kecundang dengan kecantikan dan kejelitaan AD dengan matanya yang bulat dan sinar matanya sentiasa berkaca-kaca , hidung tak payah katalah, mancung nya mak ooi.. pendek kata dari segi fizikal memang madu yang mengancam. Bila kata arab memang ramai yang berharta, begitu juga madu saya, diktakan keluarga AD punya harta berbillion dirham , jauh lebih berharta dari saya dan suami, saya tak pasti tapi saya buat andaian bahawa suami saya terpikat dengan madu saya sebab harta...bukan mungkin tapi itu saya pasti benar... kalau tak takkan dia sanggup madukan saya dengan AD. Saya tahu ini benar kerana setiap kali giliran saya , suami saya akan bawa pulang hadiah-hadiah mewah dari AD untuk saya dan anak-anak. Itu bab harta, AD memang arab kaya... AD tidak cerewet dan saya tidak pernah membawa masalah pada kami semua... cuma yang saya kadang-kadang tak puas hati ialah AD terlalu demanding dari segi giliran suami bersamanya. Setakat ini AD yang tetapkan giliran untuknya di sana..... 35 hari di sana, 28 hari sahaja untuk saya di sini dan rotation tu kadangkala berubah tapi apa yang pasti giliran suami bersamanya lebih dari suami bersama saya. Suami saya terpaksa mengalah dengan madu saya , yelah dahlah AD cantik, kaya dan bagi serba serbi sampai tiket flight baliknak penuhkan giliran saya pun AD yang bayar, manalah tak cair suami saya dibuatnya....


Alhamdulillah madu saya tidak punya hati dan jiwa...

ADGAS....Abu Dhabi Gas adalah madu saya..... sebuah syarikat nun jauh di timur tengah yang saya juga menumpang kasih....

Itulah AD madu arab saya... siapa kata hidup bermadu susah dan perit...adakalanya bermadu memang lebih manis dari madu ........Amacam, nak bermadu tak, wahai rakan perempuan ku ??



kalau faham , fahamlah, kalau tak faham, buat-buat faham jelah....idea karut saya di pagi ni....

Tuesday, April 8, 2008

' Bayar ' NAZAR....

Terasa rajin nak update blog buat kali ke 2 hari ni...

Ketika keluar tengah hari tadi bertemu dengan rakan saya ni, kami bersembang sebentar dan terkeluar kisah 'bayar ' nazar.

Saya jarang bernazar , boleh kira dengan jari berapa kali saya bernazar..iaitu ketika saya memang sangat-sangat harapkan akan perolehi apa yang saya hajati. Saya tidak pernah bernazar yang berat-berat sebab saya takut saya tak dapat tunaikan...setakat ini saya pernah beberapa kali nazar berpuasa dan yang paling lama ialah puasa 2 minggu.Saya pernah bernazar memberi derma dan memberi makan orang susah tapi sebabnya saya bernazar biarlah saya sahaja yang tahu.

Saya ingin berkongsi 2 nazar yang pada saya amat lucu yang saya lakukan sewaktu bersekolah dulu....

1......Saya bernazar jika result SRP saya bawah X aggregate saya akan pulang dari sekolah selepas mengambil result itu dengan berjalan kaki ke rumah iaitu 3 km ... apalagi berpeluh habis basah baju saya berjalan kaki seorang diri dengan memegang kertas keputusan.. tengah jalan saya terserempak dengan sekumpulan budak lelaki punjabi yang rasanya baru juga selesai ambil keputusan SRP dan seorang dari mereka berkata ,

" Hey, she looks so sad !! "

Mana tak nya saya berpeluh dan muka merah padam panas sebab berjalan tanpa henti sampai ke rumah, itupun saya ikut short cut jugak.... sampai rumah mak senyum panjang sebab saya dah beritahu mak jika saya balik jalan kaki maknanya target saya tercapai...Alhamdulillah.

2.... .. result SPM pulak saya hanya bagitau kawan baik saya tentang nazar saya dan saya tidak ke pejabat untuk dapatkan result itu.Di depan pejabat adalah bangunan lain yang letaknya tandas murid dan bangunannya ada banyak tiang. Saya berdiri di salah satu tiang dan oleh kerana saya famous dan pelajar harapan di sekolah dulu ( angkatlah bakul kali ni..hihihi ) , guru -guru saya yang sibuk nak tolong tengokkan result saya.... saya ingat Puan DW mengangkat jari telunjuknya sambil kata,

" Raja... satuuuuuu !! "

Apalagi... saya lakukan apa yang saya nazarkan... jangan gelak ekkk... saya peluk dan cium tiang depan toilet tu sebanyak 3 kali.... choooot, choooottt , chooottt . Itulah nazar saya sekiranya dapat grade satu... impian menjadi nyata, nazar saya tunaikan.... saya rasa nazar ini lebih bijak dari nazar jalan kaki.....

Mari kongsi nazar anda pula......

IC Rosak & Bakal Perantau....

Anak sahabat saya yang dimasukkan ke wad di sini akibat sakit kaki 3 hari lalu telah mendapat surat tawaran mengajar di Sabah dan dikehendaki melaporkan diri sebelum akhir bulan ini. OLeh kerana ibunya ( janda anak satu ) masih lagi di dalam wad , saya menawarkan diri untuk membantu urusan persediaan ke Sabah dan anak beliau juga sudah biasa dengan saya dan keluarga dan dia juga pernah belajar sekelas dengan anak saya, Sofie.

Pagi tadi saya bersama A ke pejabat imigresen untuk mendapatkan dokumen perjalanan terhad yang perlu ada bagi pelajar dan individu yang bekerja di Sabah/Sarawak dan ianya sah selama 5 tahun. Bila pegawai di situ scan kad pengenalan A , didapati kad pengenalanya sudah rosak dan tidak boleh dibaca dan digunakan lagi.

Dalam pasa masa yang sama saya juga ke pejabat pendaftaran yang juga sebelah pejabat imigresen untuk mengambil kad pengenalan Maya yang juga dulunya rosak dan tidak dapat dibaca maklumat di dalam kad itu.

A juga terpaksa membuat kad pengenalan baru dan selepas itu baru dokumen perjalanan terhad dapat diproses dan siap dalam masa 15 minit. Sungguh mudah dan cepat. Cuma yang lambat sikit kerana A terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil surat beranak dan mencuci gambar paspot .


Saya sarankan agar kita semua scan IC kita dari semasa ke semasa kerana ianya amat mudah rosak, kadang-kadang tanpa sebab.

Oleh kerana A adalah anak tunggal ( actually anak angkat ) dan ibunya pula seorang bekas guru dan janda dan sekarang masih di dalam wad, mulanya A nampak sedikit gusar untuk menerima tawaran kerja ini. Saya ada bagitau ibunya yang juga rapat dengan saya, agar dia lepaskanlah A pergi dan telah tiba masanya A hidup berdikari nun jauh di Malaysia Timur. Pada saya sama sahaja walau di mana anak-anak kita berada , yang penting kita tahu bahawa anak kita selamat dan berusaha demi kejayaan masa depan masing-masing. saya bagitau kawan saya Sabah bukannya jauh sangat kerana kini amat mudah untuk ke sana dan telah ramai warga semenanjung yang berkhidmat di sana. Saya yakinkan dia bahawa Sabah juga selamat sebagaimana negeri2 di semenanjung, Saya pernah tinggal di sabah selama 3 tahun semasa bersekolah dahulu dan amat suka berada di sana.

Walaupun saya juga akan merindui A apabila dia pergi kelak namun saya akan sentiasa mendoakana agar A tabah dan pandai jaga diri berada di negeri orang. Saya juga harap agar kawan saya akan segera sembuh dan dapat pulang ke rumah secepat mingkin.

Oleh kerana A ni jenis aktif dan telah 2 malam dia bermalam di wad menemani ibunya, dia pulak yang jadi macam pengganti jururawat kerana menurut A ada beberapa orang makcik yang juga tiada waris yang menunggu, jadi mereka semua panggil A apabila perlukan bantuan...

Monday, April 7, 2008

Stress....heart break....

" N masuk wad di *****g P***** , bp 190/120 "... sms saya terima dari sahabat di ibunegara.

N yang suaminya baru berkawin malam Jumaat lalu.

N yang menghadiri majlis pernikahan suaminya.

N yang begitu tabah menerima hakikat dirinya bermadu.

Saya terus menalipon N dan dia masuk wad semalam dan tadi masih di sana. Dia macam biasa , cool bila bercakap . Doktor kata dia hypertension dan doktor mahu agar dia berehat untuk hilangkan stress.Katanya jika bertambah okay, petang ini dia akan keluar dari wad dan diberi cuti di rumah.


Memang Kena Tunggu Ke ??

Telah dua hari sahabat saya terpaksa tinggal di wad hospital kerana sebelah kakinya tidak dapat bergerak, tak pasti apa punca penyakitnya. Hari ini dia akan menjalani rawatan fisioterapi dan tak pasti bila dia akan keluar wad.

Saya sempat menziarahi beliau dan hari pertama saya ke sana, wad sesak dengan pesakit kerana sebahagian wad sedang dicuci dan pesakit terpaksa diletakkan di satu bahagian sahaja. Semalam semasa melawat beliau, keadaan wad lapang sebab pesakit semua telah kembali ke tempat asal.

Satu perkara yang rakan saya ceritakan ialah apabila dia meminta jururawat membantu beliau ke tandas dengan menolak beliau atas kerusi roda kerana beliau tidak dapat berjalan sendiri, jururawat terus bertanya ," tak de orang tunggu ke ? " .... kasihan rakan saya seorang janda dan hanya punya seorang anak dan malam tu pulak anaknya bekerja shif malam dan tak sempat nak uruskan hal cuti...


Saya tidak pernah berurusan dengan hospital kerajaan tapi kalau swasta , pesakit adalah tanggungjawab jururawat sepenuhnya.... dan setakat yang saya alami tidak pernah pulak jururawat di hospital swasta pertikaikan samada pesakit mesti ditunggu oleh waris 24 jam.

Satu lagi bila kawan saya memerlukan bantuan jururawat dia terpaksa minta tolong pekerja yang sedang mop lantai untuk memanggilkan jururawat sebab katilnya tidak disediakan alat butang pemanggil tidak seperti di hospital swasta katilnya lengkap dengan semua alat yang berkenaan.



Kepada sahabat saya ..semoga segera sembuh...INsyaAllah.



zwani.com myspace graphic comments


Petang semalam anak rakan saya ambil cuti untuk menemani ibunya di hospital malam tadi ...... Persoalannya..... Memang Kena Tunggu Ke ??????? ... saya musykil fungsi jururawat......

Sunday, April 6, 2008

Kasihan Mereka.....

Akhirnya malam tadi hujan turun juga di Kemaman walaupun tak lebat tapi cukup untuk membasahkan jalanraya dan sedikit menyejukkan pagi yang indah..Alhamdulillah.


Setiap hari jika saya melalui jalan di tebing sungai kemaman saya selalunya akan betembung dengan seorang insan yang saya gelar pakcik plastik. Pakcik plastik tidak punya rumah dan basikal adalah rumahnya. Dia akan tidur dengan berdiri di basikalnya atau kepalanya terlentok di handle basikal . pakaian pakcik plastik adalah plastik yang saya rasa berjumlah lebih dari 100 helai/keping plastik dari topi hinggalah bajunya dibalut dengan plastik . Saya rasa pakcik plastik telah ujud di kemaman lebih dari 10 tahun sebab sepanjang yang saya ingat pakcik ni memang telah ada dan dia 'tinggal' di dalam bandar kemaman. Dia tidak mengganggu orang lain. Dia dengan dunianya sendiri.

Pakcik kedua yang juga tidak punya rumah adalah pakcik rambut serabut. Daripada rambutnya pendek kini rambutnya dah mencecah pinggang dan bergumpal dan dia memakai topi. Saya sedikit takut dengan pakcik rambut serabut ni sebab dia gemar bercakap. Sebenarnya dia bercakap seorang diri tapi disebabkan penampilannya yang kotor dan busuk dengan rambutnya bergumpal seperti telah bertahun tidak dibasuh menjadikan saya gerun bila terpaksa berjalan di sebelahnya.

Dua pakcik ini adalah dua insan yang hidup di alam nya sendiri. Mereka ini di Kemaman dan saya pasti ramai lagi yang sama dengan mereka di negara kita dan di dunia juga saya yakin jumlahnya agak besar.

Tak siapa tahu apa yang menyebabkan mereka jadi begini... saya hanya boleh melafazkan kata-kata ini...saya simpati dengan nasib mereka...........

Saturday, April 5, 2008

Kasih Tidak Melimpah Lagi.....

Selepas kembali dari Kuantan petang semalam terasa badan letihnya bukan main kerana terpaksa meredah jam di kuantan semata-mata nak makan cendol sedap . Kalau biasa saya jarang meredah bandar kerana selalu exit ikut UIA dan perjalanan yang sungguh selesa terus ke kemaman. Cendol punya pasal lebih sejam setengah baru sampai ke rumah yang biasanya hanya 45- 55 minit .


Sebelum solat maghrib, saya terima satu sms yang benar-benar mengganggu konsentrasi solat saya (biasanya terganggu jugak tapi kira sms ni paling mengganggu). Sms dari sahabat di KL yang bagitau sahabat kami yang merasakan kasihnya telah melimpah ( kisahnya yang diceritakan baru-baru ini )akan bernikah malam tadi. Terus saya pulak yang sebak. Saya dapat tahu memang dia akan bernikah bulan April tapi tarikhnya saya tak tahu . Saya terus sms isteri sahabat yang nak kawin tu yang juga sahabat saya benar ke apa yang diberitahu melalui sms. Selepas solat , rakan saya yang lain pulak called dari KL yang bagitau berita nikah ini dan suami serta anak lelakinya sedang bersiap sedia akan ke masjid terkemuka di ibu negara bagi meraikan majlis tersebut , tapi sahabat saya ini tidak sampai hati nak menghadiri majlis ini atas dasar dia pasti akan menangis dan sebak melihat sahabat kami akan bermadu lepas itu.

Tak lama lepas itu saya dapt sms sekali lagu dari sahabat saya yang bakal dimadukan... umur seusia saya, 43 tahun telah berumahtangga 23 tahun , anak yang sulung 21 tahun , yang bongsu 2 tahun ..inilah sms nya....

"Pkl 9 mlm akd nikahnya, Km skrg kt msjd W*****h . Km ank brnk redha dgn ktntuan Allah, Semuanya adalh ujian d dunia dn ada hkmah tsmbunyi. WAllahua'lam ! "

Sedih sungguh saya dalam pada masa yang sama saya merasa betapa sahabat saya ini seorang yang teramat tabah . Bayangkan dia dan anak-anak menghadiri majlis akad nikah suami nya.

Kini kasih tidak melimpah keluar lagi dari cawan... kasih akan bertakung di dalam 2 cawan... atau mungkin dua cawan juga tidak dapat menampung kasih yang melimpah ruah... hanya masa yang menentukan.





terimakasih pada azlanlin sebab bagi pinjam gambar ni...


Saya hantar sms kembali dan mendoakan agar segalanya dipermudahkan dan diberkati Allah..namun di sudut hati Allah sahaja yang tahu apa yang tersirat....

Saya sms darling yang juga rakan baik si suami yang bernikah , bagitau yang si MJ tu akan bernikah dan ini sms my darling ...

"Wslm, ingt ke lmbt lg. Biar jelah, dia tahu diri dia sendiri. Ok plk N & ank2 hadir sekali.... "

Semua yang baik datang dari Allah Yang Maha Esa.......... Alhamdulillah.

Friday, April 4, 2008

pakaian asli

Seorang kanak-kanak lelaki berlari keluar dari kolam renang dengan spender yang terlondeh dan nampak anunya. Bapanya mengikat spender itu dan kanak-kanak itu kembali ke dalam kolam renang . Kemudian saya terdengar dialog kanak-kanak lelaki ini dalam lingkungan 3 tahun dengan bapanya petang semalam... saya duduk betul-betul di sebelah meja bapanya ...

anak : pa, boleh tolong dok ?

bapa: tolong apa?

anak: tolong berenang dengan adik.

bapa: dok boleh, papa tak bawak baju.

anak: pa bukaklah baju tu.

bapak: ehhh mana boleh, pa tak dok baju lain.

anak : ala pa bukaklah baju pa.

bapak: pa dok bawak baju.

anak: pa pakailah seluar je.

bapak: nanti kalau pa pakai seluar habislah basah kete.

anak: pa bukaklah seluar, pakai spender je.

bapak: ehhhh mana bolehhhhhhhhh.... terus bapanya melihat ke arah saya yang masa tu dah tersenyum mendengar dialog mereka berdua.

tak lama lepas tu kanak-kanak itu kembali kepada bapanya dan terus melucutkan spendernya yang longgar dan kembali ke kolam renang dengan 'pakaian asli'nya... Saya terus memanggil mimi untuk pulang ... tak sanggup biarkan mimi mandi bersama kanak-kanak 'berpakaian asli ' itu......



dialog ini pula terjadi minggu lalu....

mimi : kenapa orang besar ada bulu ketiak ?

mama: sebab ada hormon.

mimi : hormon tu apa?

mama : hormon tu ubat bagi tumbuh bulu.

mimi : oooo .

mama : ( dalam kepala .... jawapan yang tak cerdik tu yang mampu aku bagi pada budak keciik ni... sesal... )



tu jelah nak kabo... nak siap pergi jalan, bowling, grocery shopping ... kuantan .

Thursday, April 3, 2008

What to do ??? Who's to blame ????

This week most people are busy talking about TWO HOT topics.... "Sufiah" and "Fitna".



For me , those two shocking stories teach us all muslims around the globe to always examine ourselves and not just blame others for everything happens.



I personally pity Sufiah the genius who has to go through a very harsh and challenging childhood just to satisfy her parents' ambition and dream . I pray to Allah The AlMighty to bring back that sweet genius lady to the path of the believers. Amin.



"Fitna" ... I have yet to watch the short movie till the end ... the use of the verses from the Quran to potray the actions and deeds done by the devout muslims according to the Dutch MP's wrong interpretation of Islam sure bring chaos to the muslim world.



"Boycott the Dutch products"..... almost all muslims are aware of this campaign...



I agree with this campaign but ONE item which I don't think I can let go or boycott... is this dutch product...





My fridge has never run out of this dutch product.....



I've tried different brands... none tastes like this dutch product.....









What to do ????



Who's to blame ????

Wednesday, April 2, 2008

Nak Nasi Kukus ???????

AWAS !!!
Entry ini sedikit menjijikkan , dinasihatkan kepada sesiapa yang belum makan, eloklah makan dahulu sebelum membaca.....



Selepas menghantar ke sekolah pagi tadi saya ke pasar borong kerana hajatnya nak masak special sikit hari ni.. Selepas itu saya ke mini market jalan matahari dan di situlah bermulanya idea nak tulis bab makanan yang jijik....

Sedang saya membayar barangan tokeh dan 3 orang cashiers sedang rancak berbual perihal makanan yang lazat yang digemari masing-masing , ada yang sebut ikan patin, ada yang sebut kerabu perut lembu , tuptup tokeh kedai sebut yang paling dia suka ialah 'lembu kaki pendek ' dan katak . Menjeritlah budak-budak cashiers tu bila dengar tokeh muda tu suka makan katak. Saya hanya tersenyum dan terus beredar..... semasa kecil saya berjiran dengan sekeluarga bangsa tionghua dan memang feveret mereka adalah katak, sebelum di masak katak-katak itu dijemur di ampaian kain agar cecair katak di keringkan sedikit sebelum dimasak . Ibu saya pernah beberapa kali termuntah tengok katak-katak itu di ampaian.. itu kisah katak..

Semasa saya di Kerteh dan berjiran dengan pekerja-pekerja Korea dan Filipina.. kegemaran mereka adalah anjing panggang.. pantang ada anjing liar , habis menjadi habuan mereka..... itu kisah anjing panggang.....

Di pasar borong yang saya pergi pagi tadi hujung tahun lalu ada sebuah gerai nasi kukus yang diserbu dan diberhentikan operasinya .

Kenapa????

Waktu saya mula balik dari Jordan dan dalam kemaruk JJCM saya memang lama dah duk teringin nak makan nasi kukus tu, tapi Allah Maha Penyayang...sehari sebelum saya memang berniat nak beli nasi kukus tu kerana lama dah 'mengidam' , petangnya sewaktu saya menanti Mimi pulang dari kelas tusyen saya sempat bersembang dengans 2 orang sahabat lama dan entah macamana terkeluar pasal nasi kukus. Dikatakan penjual nasi kukus di pasar borong tu baru paginya diserbu oleh pihak berkuasa kerana dicurigai kebersihan dan kesucian nasi kukus itu. Rakan saya ni memang dah jadi regular customer nasi kukus tu.

Rupanya gerai ini memang laris kerana pembeli terpaksa ambik nombor giliran untuk membeli nasi ini.

Nak tau apa rahsia kelarisan dan kesedapannya ????

Rahsia dibocorkan oleh orang dalamnya juga... dikatakan air kukusan nasi itu diletakkan dua ekor bangkai kucing bagi menyedapkan rasa nasi kukus itu......... bangkai kucing ada dalam air kukusan . Tips menyedapkan nasi kukus ini katanya diberi oleh orang siam... yang menjualnya melayu, muslim.

Gerai itu ditutup sehingga kini. tapi tadi saya nampak ada banner baru..."NASI KUKUS" di area situ juga....


Cakap pasal pelaris lagi.....

Saya pernah terbaca dalam akhbar kisah di mana pengikut Ayah Pin diberikan makan 2 biji kapsul sehari . Yang jijiknya bila diceritakan sendiri oleh orang kanan ayah pin dan orang yang membuat kapsul itu ialah... setiap hari dia( orang kanan itu ) memasukkan najis ayah pin ke dalam kapsul sebelum diberi kepada pengikut2 nya........


saya hingga kini bila ternampak iklan nasi kukus, terasa loya tekak ............

Tuesday, April 1, 2008

Akibat Ter Over .....

Sejak tengah hari semalam rasa tak berapa sihat, rasa nak bernafas agak susah dan perut macam kembung , teringat masa mengandung biasa kena macam ni dipanggil medu atau pedih ulu hati ( ni bukan kes mengandung ekk !! ). Lepas ambik mimi balik dari sekolah, saya terus terbaring selepas makan 2 biji panadol dan tertidur seketika. Lepas dah dapat tidur rasa perut dah okay sikit walaupun masih lagi rasa senak dan semput nafas. Saya hantar mimi ke kelas kafa , dia buat hal bulak, menangis tak nak masuk kelas, puas saya pujuk baru dia nak masuk kelas, ditanya apa alasan tak nak masuk kelas, dia tak jawab.Saya terus ke al amin ambik Izzat sebab dah janji nak bawak dia ke kedai sukan beli net tiang gol yang wangnya hasil kerjasama gang bolesepak yang berjaya memungut dan menjual besi buruk dari rumah masing-masing , dapatlah RM90 dan harga net RM100, tambah duit sendiri, tak jadi beli bola sebab dah ada bola yang elok. Tiang gol dah lama tersedia dan petang semalam gang bolasepak main penuh bergaya dengan merembat bola masuk ke dalam gol yang berjaring. Saya yang masih sakit perut tidak turun dari kereta, menunggu sahaja di dalam kereta . Biasanya izzat pergi/balik sekolah dengan bas sekolah tapi sebab dah janji yang saya ambik dia hari ni, kena jugaklah tunaikan janji.

Malam tadi selepas solat Isya' , terus saya tidur, memang rasa tak selesa perut ni. Saya terjaga bila tiba-tiba terbau macam asap, tak pasti asap apa tapi baunya macam dekat saja, macam ada dalam rumah. Saya lihat jam waktu tu baru 12.44am . Pelik, saya bangun dan periksa dapur, bilik2 tidur dan ruang hadapan, mana tau ada apa/siapa . Semuanya selamat. Saya pelik sebab rumah tertutup rapat tak mungkin sebarang bauan dapat masuk ke dalam rumah. Saya buat andaian asap dari motorsikal yang berderum-derum di luar yang masuk menembusi penapis penyaman udara yang terpasang. Ada gang rempit mana pulak yang datang buat bising di laluan seberang rumah.macam tak logik sebab motor di sebelah lain dan air-cond di sebelah lain. Saya 'lupa' pasal asap sebab lepas tu perut saya buat hal lagi.... lamanya saya berada di dalam tandas dan rasa dah nak tercerut usus saya , sakitnya bukan main. Dekat jam 1.40 am baru saya selesai dengan urusan tandas dan terus terbaring dalam keadaan sakit masih terasa. Nak kata saya tersalah makan tak jugak . Sejak lebih sebulan lalu saya meminum teh misai kucing untuk mengurangkan kencing manis dan saya rasa teh ini juga mengurangkan lemak. Mungkin saya terlebih minum teh ini sejak mingu lalu sebab kalau boleh nak bebas dari kencing manis dan lemak juga kurang dengan segera, kira kes terover minum. Saya andaikan itulah puncanya angin dan sakit perut dan kes acap ke tandas.

Bila sakit perut malam tadi saya teringat beberapa tahun lampau saya sakit kepala teramat sangat dan ada sorang kawan ni bila sakit kepala dia akan makan panadol 4 biji sekaligus dan dia okay je, tak pengsan pun. Bila saya teringat yang dia makan 4 biji, saya try makan 3 biji sebab nak cepat baik, 2 biji memang tak jalan sebab dah cuba sebelum tu. Saya makan 3 biji panadol sekaligus.

Ya Allah, tak sampai setengah jam, mata saya dah berpinar-pinar, loya tekak usah dikira..saya sempat ke tandas dan muntah keluar dengan banyak, dah nak pitam masa tu, saya berpaut pada sinki , tak sempat nak keluar bilik air rasa nak buang air besar pulak dengan perut punyalah sakitnya. Masa tu tak dapat nak bayangkan sakitnya perut , rasa diperah-perah usus dan macam nak pecah dibuatnya, habis keluar semuanya, kempis perut lepas tu. Saya memanggil maya tolong pegang saya sebab macam nak tumbang. Saya terus berbaring atas katil sambil kata pada maya yang saya rasa macam nak mati dah. Darling di surau masa tu, dia balik heran tengok saya terbaring , bila dia tau yang saya makan panadol 3 biji terus dia kata, " sapa suruh makan overdose? ", saya jawab dalam sakit tu, " Cik ngah tu makan 4 biji tak jadi apa pun.. " nak justify yang saya makan 3 biji tu patutnya tak jadi hal, bukan 4, hanya 3.

Saya tak berani makan 3 biji panadol lagi sejak peristiwa itu, tapi agaknya kalau nak kuruskan badan boleh kot... kempis perut saya malam itu.

Bila sakit malam tadi memang saya risau jugak takut terpengsan dan sapa pulak nak bawa saya ke hospital tengah-tengah malam buta... tanpa mengetahui apa yang berlaku, mimi dan izzat lena sampai pagi ..........