Tuesday, September 30, 2008

30 Ramadan .... last dah puasa

Salam 30 Ramadan buat semua.

Hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Kemenangan buat semua yang berjaya mendidik diri menjadi hambaNYA yang bertaqwa di bulan yang mulia ini.


Get Hari Raya Graphics Here



Tahun ini kami sekeluarga beraya di 3 negara, Malaysia, Ukraine dan Korea . Alhamdulillah berkurang sedikit negara dari tahun lalu , 5 buah termasuk hubby yang beraya di UAE dan Zaid serta Azra di Jordan .

Sofie di Ukraine beraya hari ini , mereka di sana memang puasa hanya 29 hari sahaja .Malam tadi dia called yang dia tengah buat kuih raya selepas pulang dari kelas . Masuk tahun ni dah 5 kali dia beraya di Ukraine iaitu sejak dari pre-medic .

Maya di Korea raya sama Malaysia, esok baru raya. Kali ni adalah kali ke 3 dia beraya di sana dan kali ni dia hanya akan ke Seoul pada hujung minggu ini kerana Embassy buat majlis raya pada hari Ahad . Tiada sambutan pada hari raya kerana semua pelajar ada kuliah pada hari tersebut.

Mengimbau kembali zaman masa belajar di US dulu-dulu , sekali beraya di Malaysia ( balik free cuti tahun dua ) , 2 kali beraya di Washington DC ( kampung saya bak kata nbk466 ) dan sekali beraya di Madison, Wisconsin ( travel masa summer lepas habis summer school ) yang semuanya puasa dan raya musim panas. Waduh memang sungguh mencabar, panas sekali dan imsak awal maghribnya lewat . Mana yang ada kelas masa maghrib, kami siap masuk kelas bawak minuman ringan dan coklat , masuk saja maghrib ( 8.45 pm biasanya ) terus berbuka dengan air gas dan kalau kelasnya panjang kami akan keluar sebentar solat dan kembali ke kelas. Balik baru menjamah apa yang ada ,biasanya roti atau kalau masa hujung minggu adalah makan nasi dengan kari ayam ke, telur goreng ke , lauk yang sangat simple sebab kena jaga perbelanjaan , biasiswa sikit memang tak cukup buat kami yang tinggal dia bandar besar. Raya pulak sebelah pagi kami biasanya solat raya di taman dan lepas solat adalah jamuan ringan dan lepas tu kami segera ke kelas yang biasanya musim exam akhir musim panas .Tak de lah rasa raya mana pun. Tak pernah saya buat kuih raya masa raya ( taktau buat dan tak de duit nak buat !! ) . Memang raya macam tak raya aje, majlis raya yang dianjurkan MSD pun saya tak pernah hadir sebab masa tu MSD sombong , tak students friendly tambah2 pada kami yang dekat dengan MSD ( hari2 lalu MSD nak ke U ) , saya tak kuasa nak beraya bersama .

Apapun Syawal memang memberi kepuasan dalam diri bila dapat menyempurnakan ibadah puasa ( mak oiii tahun ni kena ganti puasa banyakkkkk ) . Pada semua lelaki yang berjaya berpuasa sebulan TAHNIAH diucapkan dan pada semua wanita , syabas juga dan mari kita pakat ramai-ramai mengganti puasa seberapa segera selepas raya .

Salam ceria buat semua.

Monday, September 29, 2008

Semoga Ibu bahagia di hari mulia....

Salam 29 Ramadan buat semua.

Ramadan semakin hampir melabuhkan tirainya . Betapa begitu pantas masa berlalu meninggalkan kita semua bersama 1001 pengalaman , pengajaran dan amalan , semoga kita semua dirahmati dan diberkati, InsyaAllah.


Pixel Code Graphics




Kami tidak beraya bersama ibu-ibu kami di Ipoh , Alhamdulillah kami sempat bertemu mereka minggu lalu. Ibu saya masih seperti dulu , saya mahu mengambilnya berpuasa di Kemaman dia menolak kerana dia nak pulang ke Ipoh berpuasa dan berhariraya. Mak masih kuat berpuasa walaupun pengurusan kendiri nya masih belum stabil ( dari segi kebersihan diri masih perlu diingatkan setiap masa ) . Saya sempat belikan beberapa jenis kuih raya kegemarannya dan dia juga sempat hadiahkan Mimi dan Izat duit raya . Saya gembira melihatnya riang disamping anak cucu ketika berbuka puasa minggu lalu.

Mak mertua saya yang sekarang ni juga tinggal di Ipoh bersama kakak ipar saya kini tidak lagi boleh berpuasa dan ingatan nya amat lemah. Dia tidak kenal siapa yang datang bertandang walaupun anak sendiri . Saya pun dia tanya beberapa kali siapa nama saya .

Melihat keadaan kedua-dua ibu dan ibu mertua benar-benar menginsafkan saya ...........

Ibu, Selamat Hari Raya , Maaf dan ampun anakanda pinta dari hujung rambut hingga ke hujung kaki ..... semoga ibu bahagia di hari mulia.

Sunday, September 28, 2008

Raya.... Raya.....

Salam 28 Ramadan buat semua.

Nak cerita kisah masa kecik , masa tu kami tinggal di PD dan balik kampung di Kota Bharu , Perak , KB ni terletak tak jauh dari Gopeng dan sekarang ni tak de sapa tinggal di situ setelah opah saya berpindah ke Ipoh . KB nilah kisah kartun The Kampung Boy dan jugak Lat dibesarkan dan ibu saya pernah mendukung Lat masa Lat masih bayi . Kami sempat pulang ke KB beraya hanya 2 kali kerana waktu lain kami beraya di kem askar ( abah askar ) sahaja termasuk di Kuching dan Kota Kinabalu.

Masa balik raya saya masih ingat kami bertolak dari kem PD awal pagi dengan menaiki kereta Datsun yang abah sewa untuk lebih selesa kerana kereta kami tak boleh jalan jauh, kereta lama ( saya lupa brand apa , tapi bentuk 4 segi ) . Bestnya waktu dapat naik kereta ada air-cond dan dapat lalu KL yang waktu tu Hotel Concorde lah yang paling hebat yang sering disebut-sebut dan Ampang Park tempat saya dan adik jakun main escalator dan di sisi escalator saya masih ingat ada mesin membuat donut lembut dan sedap dimakan kerana fresh from the kiosk.

Selalunya singgah di Templer Park , mandi-manda , rehatkan badan terus ke KB dan tiba di KB dekat nak maghrib. Seronok dapat buka puasa dengan arwah atuk dan arwah opah . Kadang-kadang atuk tak de sebab atuk Imam di masjid KB .

Pagi raya kami biasanya lepas solat terus ke tanah perkuburan di hujung kampung . Masa ni paling best sebab dapat kumpul duit raya. Atuk baca tahlil di setiap kubur yang ada warisnya bersama di situ dan semasa doa dibacakan waris si mati akan memberi sedekah dengan meletakkan duit atas tapak tangan kami yang menadah doa, 2o sen, 30 sen dan yang kaya sedikit 50 sen , kira mewah sebab ramai yang ada di sekitar perkuburan tersebut.

KB telah lama sunyi , kampung mati yang tiada lagi penghuninya kerana hampir semuanya berhijrah ke Ipoh pertengahan 70an . Hanya yang tinggal adalah pusara atok dan opah nun di hujung kampung. Saya tak pasti budaya bertahlil di pusara semasa hari raya masih menjadi amalan masakini . Saya pun dah berpuluh tahun tidak ke KB.

Pada yang masih ada kampung , anda dikira bertuah.... pulanglah ke kampung halaman....





Jumpa lagi....

Saturday, September 27, 2008

Mood baik punya.....

Salam 27 Ramadan buat semua.



Hadiah dari YAB MB Terengganu buat semua penduduk di kawasan perumahan kami... kurma dan air zam-zam....TQ .

Mulai semalam kenderaan makin bertali arus di jalanraya. Bandar Cukai juga semakin sesak dan seperti tahun lalu saya menjangkakan tahun ini akan sesak juga bilamana banyak kenderaan yang menggunakan lebuhraya pantai timur yang susur keluar di Jabor dan akan melalui Sungai Ular dan seterusnya melalui Cukai untuk terus ke KT dan KB . Tahun lalu jalanraya di kemaman jam teruk dan kebetulan masa itu saya juga terperangkap dalam kesesakan di jambatan Geliga. Mulanya saya ingat ada sekatan polis dan ramai jugak penunggang motorsikal yang berpatah balik sebelum jambatan Geliga kerana menyangkakan ada polis di hadapan ( saya hairan kenapa ramai penunggang motorsikal yang takut pada polis ...agaknya ada saja kesalahan...) . Rupanya jalan jam sebab terlalu banyak kenderaan yang terpaksa melalui bandar Cukai . Mungkin bila LPT siap hingga ke KT di masa akan datang tiada lagi kesesakan di bandar Cukai .



biskut cornflake madu kegemaran kami sekeluarga....


kuih raya yang dibuat oleh orang lain, hanya keluarkan RM je....


Semalam mood rajin masak melanda. Pagi saya siapkan biskut cornflakes madu 2 adunan , petangnya pulak berbuka dengan masakan Thai.. tomyam udang, Ikan masak 3 rasa ( entah ye entah tidak yang saya masak ada rasa 3 rasa ! ) , telur bungkus ( terkoyak jugak telur tu sebab isinya banyak sangat ) dan goreng kangkung belacan ( belacan sikit saja sebab gang resdung ada dalam rumah ) , pastu tambahannya rendang tok yang di beli di BatuGajah masa balik Ipoh minggu lepas ( simpan dalam peti ais tahan berbulan , nak makan hanya defrost kan aje ) . Minuman saya sediakan strawberry milkshake ( strawberry yang dibeli di Cameron Highland minggu lepas yang saya bungkus sebiji sebiji dengan kertas untuk tahan lama ) . Mimi pulak nak bubur nasi , jadi saya masakkan bubur nasi serta udang dan kentang untuk nya .Kuih jarang laku kat rumah saya sebab anak2 tak pandai makan kuih . Malam tadi mereka berkelah dengan biskut cornflakes , biskut paling senang dan sedap dimakan dan amat digemari oleh anak2 . cubalah buat kalau tak percaya....

lagi kuih yang dibuat oleh orang lain ....


ni resipinya.... saya telah membuatnya sejak 1990an .....

300gm cornflakes nestle ( brand lain tak sedap untuk biskut ni ) ,
250gm butter ,
4 sudu madu,
8 sudu gula,
150gm serbuk badam ....

masak butter sampai cair, masukkan madu, gula, cornflakes dan badam dan padamkan api serta masukkan ke dalam papercups, bakar selama 10 mint dan biarkan sejuk dan ianya siap untuk dimakan....




Bagi yang kembali ke kampong halaman hari ini, semoga selamat dalam perjalanan , InsyaAllah . Memandulah dengan berhemah.... Jumpa lagi...

Friday, September 26, 2008

Shopping Barang Raya....

Salam 26 ramadan buat semua.

Semalam busy shopping barang keperluan hari raya di Kuantan . Beli barang-barang yang nak dihidang kepada para tetamu masa raya. Baju raya tahun ni tak de, semua pakai baju sama masa majlis kenduri kawin sebab sekali tu aja pakai, jadinya jimatlah bab baju raya. Kuih raya pulak beli siap aja, yang saya buat hanya satu cornflakes madu sebab saya punya yang paling sedap..hehehe. Saya tempah 7 jenis biskut raya , semua yang payah nak buat dan saya takkan buat kuih yang memerlukan tahap kepakaran dan kesabaran yang tinggi untuk membuatnya.

Setelah penat membeli-belah saya dan darling bersantai dengan mencuba fish terapi/spa. Punyalah banyak ikan datang kerumun kaki kami untuk makan kuman dan sel mati. Rasa geli bila ikan2 tu gigit tapak kaki . Rupanya banyak betul kuman kat kaki walaupun setiap hari basuh dan cuci kaki. Kalau sesiapa nak tau kaki banyak kuman ke tak , cubalah fish spa . Balik rumah siap saya kata pada hubby kalau kta beli ikan2 tu dan rendam kaki hari2 tentu kaki sentiasa bersih. Ikan2 tu dikatakan hanya menggigit dan menanggalkan kuman tapi tidak memakan kuman tersebut, memang hobi dan kerja ikan2 tu menggigit dan menanggalkan kotoran dari kaki.

Hari ni tentu ramai sedang bersiap-siap untuk pulang ke kampung berhari raya. Saya doakan agar selamat semuanya tiba ke destinasi masing-masing, InsyaAllah.

Ucapan Selamat Hari Raya buat semua umat Islam walau di mana sahaja. Maaf Zahir Batin .

Wednesday, September 24, 2008

Apa jawapan anda ????

Salam 24 Ramadan buat semua.

Tak de cerita pagi ni .....cuma satu.....

Apa itu EKONOMI ???

Mimi tanya soalan ini masa menonton buletin utama malam tadi....

Nak tau apa saya jawab ????

EKONOMI ialah.... DUIT ....

Hebat tak jawapan saya pada seorang kanak-kanak berusai 6 tahun ???????

Apa jawapan anda pada soalan Mimi ini ????

Tuesday, September 23, 2008

Kesiannya dia.....

Salam 23 Ramadan buat semua.

Pagi nak cerita kisah si kecil Mimi yang berazam nak berpuasa cukup 30 hari namun hajatnya tidak kesampaian ......




Hari kami bertolak ke kampung Jumaat lepas, semasa di rumah besan saya di Rembau dia ada bagitau yang dia rasa macam nak demam namun saya diamkan aja sebab tak panas lagi badannya. Ketika nak teruskan perjalanan ke KL , saya nampak muka dan bibirnya dah nampak merah dan dahi serta badannya dah panas , Saya suruh dia buka puasa dia masih tak nak dan besan saya bagi kool fever untuk diletakkan atas dahi dan kami terus ke KL. Suhunya masih tak turun dan badan makin panas dan setiba di rumah kakak saya di sungai besi saya terus ke dapur dan buatkan milo panas dan ambil biskut graham crackers ( benda lain dia lagi tak nak makan ) terus paksa dia buka puasa. Menangis tersedu-sedu dia makan biskut dan mnum milo. Saya kata tak pe buka puasa sebab sakit nanti kalau tak makan ubat masuk hospital lagi teruk. Lama kemudian baru dia berhenti menangis . Saya bagi dia makan ubat demam dan kami teruskan perjalanan ke IPoh. Masa sahur saya rasa badan dia masih demam , tapi dia terjaga dan ke dapur untuk bersahur, saya kata mimi tak payah puasa lah sebab masih demam, terus dia menangis lagi, saya pun bagi dia bersahur dan puasa dengans ayarat kalau masa siang hari kalau dia masih demam panas dia kena buka puasa, dia setuju. Petang pukul 4 badan dia makin panas dan dia akhirnya yang minta buka puasa sebab dia takut masuk hospital. 2 hari dah tak dapat puasa penuh . Sahur esoknya dia sendiri yang tak nak bangun sahur sebab badan masih panas dan bila makan ubat ikut jadualnya , semalam dia dah sihat dan sambung balik puasa dan dia kini tak sabar nak sambut syawal. InsyaAllah kalau sihat sampai hujung ramadan , dapatlah dia berpuasa kurang 3 hari dari sebulan. Syabas buat sayang mama yang 6 tahun dah kuat berpuasa dan solat juga ( tak pernah tinggal solat, bulan posa ni dia selalu jugak solat sambil duduk sebab tak larat ) .

Kadang- kadang kanak-kanak lagi kuat dari segi fizikal dan mental serta spiritual dalam bab ibadat. Saya nampak di pasar Cukai , pagi buta dah ramai si tua bangka ( lelaki ) beli kuih dan mee goreng dan macam2 makanan . Peliknya muka selamba je beli makanan dan tambah peliknya makcik2 penjual tu selamba je buka gerai di pagi hari dan lagi tambah peliknya MPK sejak berpuluh tahun tidak memansuhkan penjualan kuih-muih di pagi hari di bulan ramadan di pasar cukai kemaman ....pelik , pelik.

Monday, September 22, 2008

balik kampung tetap seronok .....

Salam 22 Ramadan buat semua.

Letih tapi seronok dapat balik Ipoh jumpa mak dan mak mertua serta adik-beradik , ipar duai dan anak-anak sedara .

Perjalanan kami hanya disertai mimi dan izzat sebab last minute azra tak larat nak travel jauh sebab sakit pinggang . Dia tinggal dengan Zaid di rumah. Saya hanya pesan jika rasa sakit nak bersalin, call saya dan terus ke hospital berdekatan rumah. Alhamdulillah azra masih bertahan ... Agaknya hariraya dapat cucu tak ?????

Tiba di Ipoh rumah abang saya dan berbuka bersama ibu saya sembang-sembang serta makan jagung manis yang boleh dimakan mentah ,alih-alih dapat plan baru..... jam 7.30 pagi Sabtu kami ke Cameron Highlang ,ikut jalan Simpang Pulai dan sejam kemudian kami kami dah tiba di sana. Shopping jagung , strawberry dan sayuran kami turun ke Ipoh semula dan petangnya kami berbuka di meru height bersama mertua saya. Cameron Highland pagi sejuk sebab malamnya hujan . Bestnya dapat juga rasa kesejukan alam semulajdi di malaysia.

Perjalanan balik kami singgah di Sate Samuri di Taman Melati dan siap beli untuk berbuka nanti dan sahur . Kami berbuka di Gambang Rest area dan saya lihat hanya 2 gerai makanan dan sebuah gerai minuman dibuka. Saya bagitau suami mesti makanan tak cukup sebab nampak makin banyak bas ekspress singgah berbuka puasa.Kami duduk di pondok dan selamat berbuka puasa dengan sate serta kuih muih yang kami beli semasa di KL. Tak lama kemudian datang 2 lelaki nak tumpang pondok ( memang besar pun dan banyak tempat duduk ) dan mereka mengeluh sebab makanan habis di gerai dan mereka hanya beli air soya dan kerepek.Kami pun offer mereka sate dan kuih-muih serta kuih raya juga. mereka segan mulanya tapi kami desak mereka makan bersama . Mereka adalah askar dari kem batu 10 yang balik dari KL bertemu isteri masing-masing . Salah seorang dari mereka pernah bertugas di Lebanon di bawah misi pengaman PBB pada tahun 2007. Rupanya dapat juga kami berjumpa secara tak sengaja wira-wira negara , hikmah dari habisnya makanan di gerai makanan di Gambang. Tak patut betul LPT tidak sediakan kemudahan yang selesa buat pengguna lebuhraya.

Tak lama dah Ramadan akan meninggalkan kita .Semoga kita diberikan nikmat lailatul qadar tahun ini, InsyaAllah.

Thursday, September 18, 2008

Birthday Terakhir Tahun Ini.

Salam 18 Ramadan buat semua.

SELAMAT HARIJADI KE 19 BUAT SUMAYYAH ANUAR nun jauh di Daegu, Korea.






Anak ke 3 dari 5 beradik , seorang yang 'jelly' dan masa kecik digelar " doll baby " dan tak pernah serik dimarahi kerana selalu sangat siap lambat bila nak ke sekolah dan keluar outing/shopping sampai mimi baru ni ada kata dia tak nak jadi macam maya , siap lambat sokmo..... hahahahah




Setakat ni maya lah yang paling lama tinggal di rumah, dari kecil hinggalah lepas SPM barulah berpisah apabila dia masuk IPT di Korea. Masa tingkatan 4 dia dapat ke SBP Integrasi di Pekan, Pahang tapi dia menolak dan kami juga lega sebab suami saya pernah kata kalau maya tinggal di asrama dia rasa mungkin maya akan selalu tak dapat makan sebab akan ke dewan makan lambat dan makan pun lambat .

Tak sangka sekarang dia tinggal berjauhan dan jadi seorang yang tabah dan pandai jaga diri , bersifat matang dan senang memahami diri saya kerana kami tinggal serumah lama . Zaid saya masukkan ke sekolah tahfiz ketika berusia 11 tahun dan sofie ke MRSM sewaktu tingkatan 4 .

Satu lagi kelemahan maya dia sukar mengingat peta jalan dan kawasan yang pernah dilawati sebab dia biasanya akan terlelap bila naik saja kenderaan. kalau nak tanya jalan tak usahlah tanya dia , sesatlah jadinya...hahahaha.


Apapun Mama doakan agar beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.

Orang selalu cerita hal kelebihan , hari ni mama cerita bab kelemahan anak mama..jangan marah ye...


( habis dah birthday buat tahun ni... tahun depan pulak InsyaAllah )

++++++++++++++++++++++


Petang ni ada majlis berbuka puasa dan khatam al quran tadarus di surau dekat rumah . Saya dah niat nak buatkan 300 bekas dadih buat jemaah surau petang ini dan pagi tadi darling bagitau dia ditugaskan membeli dan menyiapkan 60 pakej hadiah buat jemaah dewasa surau dan minta tolong saya bungkus hadiah tersebut.. so, I'll busy all day...

Esok hingga Ahad kami akan travel menziarahi besan saya yang dah lebih sebulan masih belum sembuh sepenuhnya akibat patukan ular ketika hendak keluar rumah untuk solat maghrib di masjid , kemudian kami akan singgah sebentar di sungai besi melihat cucu baru kami ( anak kakak saya ) yang berusia 2 minggu, kemudian terus ke Ipoh berbuka puasa bersama abang dan mak saya di sana dan Sabtunya kami berbuka puasa bersama abang ipar dan mak mertua saya juga di Ipoh. Ahad baru kami kembali ke Kemaman (izat dan mimi ponteng sehari ). Zaid dan Azra akan ikut sekali dan siap dengan kad hospital , beg baby dab beg ibu bersalin, manatau bersalin kat Ipoh ke ... raya memang kami tak balik kampung sebab memang rasanya Azra akan berada dalam pantang masa raya........

Salam hujung minggu buat semua...jumpa lagi......

Wednesday, September 17, 2008

Silversarina Gifts Hut ........







Salam 17 Ramadan buat semua.

Bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana saya masih lagi dapat meneruskan ibadah puasa ke 17 yang juga merupakan hari Quran diturunkan oleh Allah sebagai wahyu terulung yang menjadi pegangan seluruh umat Islam sehingga bila-bila. Semoga kita semua melipatgandakan usaha ke arah menjadi redhaNYA.
Amin.




Nak cerita tentang projek Ramadan yang dulunya saya pernah melakukan dan baru-baru ini terlintas di hati dan fikiran saya untukmencubanya semula.

Silversarina Gifts Hut .... perniagaan dari kecil-kecilan yang saya sendiri cipta bagi memenuhi permintaan syarikat-syarikat yang ingin memberi cenderahati kepada kakitangan serta pelanggan mereka khas sempena Ramadan .

Tahun ini oleh kerana saya memulakan operasi agak lambat ( sepatutnya sebulan sebelum Ramadan telah dimulakan usaha promosi barangan ) , saya pun tidak promote Ramadan Gift pack di banyak syarikat.



Jadi, untuk beberapa hari lalu , saya 'melekat' di rumah menyiapkan tempahan yang saya terima dan Alhamdulillah tempahan telah diedarkan semalam dan ada syarikat yang menghantar gift pack saya ini kepada pelanggan mereka di KL. Sesiapa yang menerima Ramadan Gift Pack yang ada terselit kertas kecil.... Silversarina Gifts Hut.... itulah hasilkerja tangan saya sendiri, all homemade packaging.



Bukan setakat Ramadan, Silversarina Gifts Hut juga sedia menerima tempahan Cenderahati untuk apa sahaja majlis .....harga bermula dari RM25 hingga RM250 sahaja..... ni nak promote business sendiri ............ sapa-sapa yang ingin membuat tempahan silalah hubungi .... silversarina@yahoo.com ...


Gambar paling atas adalah gambar kek harijadi darling saya, saja saya suruh tulis selamat harijadi Tokdaddy... memang dalam masa 2 minggu lagi kami akan dapat cucu InsyaAllah.

Gambar-gambar yang lain adalah projek Silversarina Gifts Hut , selain kurma ada juga berisi coklat .....


Jumpa lagi ......

Monday, September 15, 2008

My Darling's Birthday !!


Salam 15 Ramadan buat semua.

Entry ini kena diletakkan juga walaupun saya masih belum siap projek Ramadan kerana telah 3 tahun darling saya tiada bersama kami pada tarikh 15 september , tarikh yang dikurniakan Allah kepada darling saya untuk melihat dan menikmati keindahan bumi ciptaanNYA disamping diberikan peluang menjadi sebaik-baik insan dan hambaNYA, InsyaAllah.

SELAMAT HARIJADI KE 43 !!!
Darling yang saya kenali sejak tahun 1984 dan kami membina keluarga bersama awal 1985 , seorang yang amat jauh perbezaannya dengan saya . Antara perbezaan ketara kami berdua :

* Darling berkulit cerah ..sejak bekerja di UAE , agak gelap sikit dah.

* Darling kurang bercakap , kalau kena gu nya baru laju bercakap.

* Darling bawak kereta perlahan buatkan saya mengantuk dan rasa nak tolong tekan minyak .

* Darling penyabar melayani karenah saya.

* Darling cepat dan senang tidur , letak je kepala , 5 minit lepas tu saya cakap sorang-sorang.

Cukuplah 5 perbezaan antara kami berdua... sekarang semua boleh tahu perangai saya yang berbeza dari darling sayaj .

Semoga darling saya terus dilimpahi rahmat dariNYA. Amin.

Saturday, September 13, 2008

Projek Ramadan ....... Cuti kejap......

Salam 13 Ramadan buat semua.

Saya kena ambil cuti dari blogging buat beberapa hari kerana ada projek yang sedang saya jalankan dan perlu disiapkan sebelum 16 Ramadan. Nanti bila siap saya akan ceritakan projek kecil saya itu, InsyaAllah.

Thursday, September 11, 2008

My Blog's Birthday ......

Salam 11 Ramadan buat semua.

Terimakasih kepada semua bloggers yang meninggalkan komen pada entry semalam.

Sambungan kisah semalam.....

Saya call kedai pc tu semula sebelum Zaid ke sana sebab parking bukannya senang nak dapat.Pekedai tu masih kata belum siap dan minta penjelasan kenapa lama sangat nak repair. Dia kata nanti dia akan cek dan akan call saya semula. Tak lama lepas tu ada call masuk dan saya macam pernah lihat nombor tu.... technician pc , seorang amoi (bukan apek ) bagitau yang hard disc saya akan siap dalam masa terdekat sebab dihantar ke KL dan KL janji akan siapkan secepat mungkin.....lepas tu saya cek balik nombor amoi tu dan bandingkan dengan nombor tukang selipar.... sahlah saya salah salin ... nombor tecnician amoi... *** 277 ABCD dan nombor tukang selipar *** 777 ABCD ...... salah saya salin 1 nombor dan kesian pada pakcik tukang selipar yang kena dengar agak panjang tentang hard disc saya yang terbakar ...............


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


September 11 , tarikh yang akan jadi ingatan kepada seluruh dunia dan tarikh itu jugalah yang entah macamana saya pilih untuk menjadi seorang blogger .... oleh itu hari ini adalah ulangtahun blog saya yang ke 2 dengan blog pertama saya dinamakan loveujordan mengambil sempena hidup saya di jordan dan inilah entry saya yang pertama . Blog yang saya created bertujuan mengurangkan kesunyian saya apabila maya akan berlepas ke korea tak lama lepas itu dan juga untuk saya mencatat memori saya di bumi anbiya itu. Blog itu juga mulanya tidak dibuka komen box dan saya juga hanya baca beberapa blog dan tidak pernah komen. Setelah mengenali beberapa bloggers dan saya mula belajar tinggalkan komen akhirnya pada tarikh ini saya buka blog saya untuk dikomen dan NJ adalah pengomen pertama blog saya ( lama tak dengar berita dari NJ ) . Saya masa itu gunakan singkatan LJ yang kak elle sebut dalam komen sebagai singkatan namanya dalam dunia realiti (waktu tu taktau apa nama kak elle !! ) .

Bila saya ambil keputusan untuk pulang ke tanahair saya hanya mahu blog loveujordan saya khas untuk kisah saya di jordan jadi saya pun membuka blog here in my heart dan kemudian saya tukar kepada silversarina sempena alamat emel saya ......

SELAMAT ULANGTAHUN KE 2 BUAT BLOG SAYA !!!!!!


+++++++++++++++++++++++++++


Jam 7 petang semalam darling saya selamat di rumah dan lega sangat rasa dapat juga hilangkan rindu untuk minum jus peach cap Rani yang dulu amat saya gemar semasa di jordan dan bila sofie kata dia beli jus Rani masa di transit di Dubai , saya pun pesan pada darling agar belikan jus Rani masa balik kali ni , memang sedap jus Rani dan satu lagi brand yang saya rindu ialah jus Almarai..... dan tak lama lepas bka puasa mimi duduk sebelah ayahnya dan terus berbisik dengan menyatakan dia nak 10 duit hijau dan 5 duit merah dan suami saya hanya senyum dan mengangguk..cepat betul si kecil tu luahkan apa permintaannya .......

Wednesday, September 10, 2008

What a phone call............











Salam 10 Ramadan buat semua.

Semalam buka puasa dengan semua home made food kecuali tembikai , kira betul-betul rajinlah semalam.

Tak nak cerita pasal makanan , nak cerita kisah satu panggilan talipon yang saya buat semalam yang berkaitan hard disc saya yang terbakar yang dah sebulan dihantar ke workshop namun tak siap-siap lagi. Saya called kedai berkaitan tanya apa status hard disc saya, dia jawab masih belum siap, saya kata dah sebulan takkan tak siap lagi, dia pun bagi nombor technician yang bertugas, saya pun catat nombornya dan call.


Saya : Hello .

Dia : Hello, ada apa ? ( lelaki Cina )

Saya : Saya mau tanya saya punya hard disc bila boleh siap ?

Dia : Lu mau cakap dengan siapa?

Saya : Saya mau cakap dengan technician yang repair hard disc saya yang dah sebulan tak siap lagi .

Dia : Lu mau repair apa ?

Saya : Repair pc saya , hard disc komputer say yang terbakar .

Dia : Salah nombor , saya bukan repair komputer , saya tukang selipar.

( saya menahan gelak ) ......

Saya : Oooo awak tukang selipar ..sorry ye, macamana itu kedai bagi saya nombor ni ?? ( s**p*d nya tanya soalan ni pada dia )

Dia : Mana saya tau.

Saya : Sorry ye. Bye.



Lepas tu kebetulan Azra dan Zaid ada dekat saya, saya bagitau yang saya call adalah tukang selipar bukan tukang repair pc... masing-masing ketawa bagai nak rak....

Hari ni nak suruh Zaid pergi kedai tu balik anya mana pergi hard disc saya yang terbakar tu, nilah kalau kata still under wanrranty ...... kata kena hantar kuantan, macamlah kuantan tu kat angkasa lepas, sebulan baru siap...pelik, pelik .

Tuesday, September 9, 2008

Santai Sendirian ......

Salam 9 Ramadan buat semua .


NI cerita panjang yang berlaku semalam , bukan kisah panjang hari tu yang terdelete.

Pagi semalam selepas menghantar mimi ke sekolah saya singgah beli paper dan majalah Jelita September yang ada resipi sifu kakliza kerteh dan terus menuju pantai chendor . Tenangnya dan damainya di sana dengan air laut yang surut yang hanya kelihatan bot-bot nelayan berlabuh di tepian pantai. Di sebelah kereta saya , seorang mat saleh keluar dari BMW nya beserta kamera besar di tangannya berjalan menuju gigi air dan hilang dari pandangan saya. Saya mula membaca paper tapi masih duduk dalam kereta . Saya masih duduk dalam kereta kerana perlu berhati-hati sebab sunyi pantai ni di pagi hari . Tak lama lepas tu datang 3 buah keluarga yang turut sama berehat di pantai itu. Barulah saya berani keluar menghirup udara segar .Sudah lama saya tidak berpeluang duduk di tepi pantai bersendirian menatap keindahan ciptaan Ilahi sambil membelek akhbar.

Lepas tu jam 10 pagi saya ke perpustakaan daerah yang dulunya saya ke sana setiap hari rabui .Telah lebih 3 tahun saya tidak ke sana . Saya orang pertama hadir di sana semalam walaupun ia dibuka jam 9 pagi . Pustakawan melihat saya seperti kehairanan , agaknya pelik orang tua macam saya datang awal ke library dengan hanya bawak beg duit , tanpa fail atau lain-lain peralatan tulis . Saya terus ke tingkat atas yang hanya tempat buku rujukan dan majalah. Rupanya majalah tidak lagi di atas , tapi ada satu benda baru di atas, keratan akhbar di jilidkan mengikut topik tertentu . Rajin pustakawan di situ bekerja sebab bukan satu kerja mudah menggunting keratan akhbar dan menampalnya dalam buku skrap mengikut tajuk topik yang berkaitan. Saya sempat membaca 2 jilid Jenayah, 2 jilid Kebajikan, 2 jilid Kesenian dan 2 jilid Keluarga . Hati tersentuh bila membaca jilid jenayah mengenai kisah pesalah juvenil yang berada di henry gurney dengan kisah mereka yang rata-rata bersalah atas kesalahan merogol , semuanya berpunca dari menonton vcd lucah yang akhirnya mereka tewas kepada nafsu iblis, ada yang merogol adik sendiri, anak saudara, anak jiran , kakak angkat , malang sekali anak-anak muda ini. Semoga mereka kembali ke pangkal jalan .

Lepas tu saya masih tak nak pulang ke rumah dan bercadang akan terus ambil mimi pulang dari sekolah jam 12. Saya masih punya masa dan saya terus ke pantai marina ( semalam saya ke rumah mak neeza yang dalam perjalanan ke pantai marina dan kami berbual lama juga ) , saya sambung baca majalah jelita di pantai itu dan di situ lebih selamat sebab memang kalau bulan puasa ada saja pekerja industri berdekatan yang datang berbaring / tidur di pondok-pondok yang ada di situ. Jam 11.45 saya bergerak pulang setelah sebuah lori kecil datang parking sebelah saya dengan memasang radionya dengan kuat , memang tak patut sebab ramai yang ke pantai itu menikmati kedamaian pantai.

Lepas tu barulah saya ambil mimi yang masih gagah hingga hari ini masih belum tinggal puasa , bila saya tanya samada dia puasa ke tidak, terus dia jawab, , 6 tahun memanglah kena puasa , 4 tahun barulah tak puasa dan 5 tahun pun ada yang puasa ( merujuk kepada pelajar di sekolah tadika dia ) .

Haa.... itulah separuh hari saya melayan diri sendiri dan buat apa yang saya ingin lakukan sendirian ............. tak pe , esok darling nak balik dah wei.....

Monday, September 8, 2008

Cerita pendek.....

Salam 8 Ramadan buat semua.


Tadi taip panjang dah tapi terdelete lah pulak...........waaaaaaaaaaaaaaaa .... merajuk dah.... tak nak cerita panjang dah.... nak pendek je.....

Semalam pergi bandar nak ke farmasi saya parking je kat mana saya suka ....sebabnya..... geramnyaaa..... MPK dengan 'pandainya' menjadikan parking space di tengah bandar sebagai tapak bazar ramadan.... so kalau mpk saman memang saya akan lawan , jadinya semalam bukan saya je yang parking merata, banyak lagi kenderaan yang juga parking merata , dah macam bandar koboi je nampaknya, bersepah kenderaan di merata-rata. Selesai urusan tak pulak saya nampak surat saman di kereta saya.......... memang kuranglah income MPK bulan ni , ke memang nak buat kebajikan di bulan mulia .... bazar ramadan di tempat parking memang sesuatu yang kurang bijak, dahlah nak parking kereta susah, dah tu sebelah petang bandar jam dan nak beli makanan pun susah sebab nak cari parking susah. Hairan macamana idea ini boleh diterima pakai oleh MPK .....

Itu ajelah nak bagitau , cerita pendek... cerita panjang dah terdelete .... simpan dalam memori sendiri jelah cerita panjang tu.....

Saturday, September 6, 2008

Genap setahun....

Salam Ramadan buat semua.

Semalam saya masak nasi tomato serta lauknya, ayam masak merah, kari daging serta acar timun. Saya juga buatkan bubur nasii udang untuk mimi yang batuk san sakit tekak. Dessert pulak makan yang semalam je, dadih strawberry dan lepat pisanga . Pastu masa balik dari Tunas manja saya singgah beli murtabak yang dari hari pertama mencari murtabak si'gemuk kurus'( taktau apa nama murtabaknya tapi penjual nya sorang gemuk sorang kurus ) yang memang sedap , semalam belilah jugak dari penjual yang tidak dikenali dan rasanya memang kurang sedap.Rasanya si 'gemuk kurus' tak jual atau menjual di tempat lain bulan ramadan ni.

Hari ini 6 September , genap setahun kami meninggalkan bumi Jordan. Pantas betul masa berlalu , sudah setahun kami kembali menetap di Kemaman dan genap setahun kami berpisah dengan jiran-jiran yang sungguh baik di Amman. Ummu Muaz , jiran di kiri dan Ummu Muhammad jiran di kanan adalah insan-insan yang takkan saya lupa sepanjang hayat. Ummu Muhammad yang tidak bekerja sering menghantar kuih muih arab yang dibuat sendiri dan memang sedap buatannya. Sayang saya tidak ambil kesempatan belajar buat kuih-muih arab tu tapi bila saya hantar kek dan kuih donut ,secepat kilat menantu Ummu Muhammad datang ke rumah untuk dapatkan resipinya. Masakan yang pedas tak pernah saya beri sebab memang mereka takkan makan. Pernah di hariraya anak-anak Ummu MUhammad , Salim dan Manal datang ziarah dan makan lontong yang saya masak di pagi raya, kesian saya lihat merah padam wajah mereka nak menghabiskan lontong tersebut dan bila raya sekali lagi mereka tak nak cuba dah masakan saya dan cuma makan coklat dan kekacang saja. Pernah kawan Izzat makan popia kecil berinti serunding , terus kepedasan dan kata popia tu panas / pedas macam neraka , kelakar betul .

Ummu Muhammad punya ramai anak dara yang cantik-cantik dan mereka selalu adakan parti dan memang anak-anak dara tu semuanya pandai menari. Saya masih menyimpan hasrat untuk bawa balik Manal untuk Izzat ( Izzat jarang baca blog, so dia taktau hasrat saya ni , kalau tau.... ) Saya nak jadikan Manal "Melayu ' , macamlah arab nak sangat orang Melayu...hehehe.

Ummu Muaz pulak ( bakal mak mertus maya ... jangan marah ye awak.. ) seorang jururawat yang kini bertugas di Kementerian Kesihatan Jordan , seorang yang amat baik dan sentiasa menawarkan pertolongan jika kami memerlukan sebab dia tau darling saya selalu tiada di rumah . Pelbagai ubat- ubatan ada di rumahnya dan pernah sekali saya terpaksa meminta bantuanya untuk menyuntik saya dengan ubat bagi menghilangkan rasa sakit akibat gigitan serangga yang tidak dikenal pasti sebab klinik tutup dan saya disuntik di bahangian punggung ( dapatlah jugak dia lihat punggung saya yang kecik molek ni ...hahahah ) . Pernah sahabat saya yang bersalin anak kembar di Amman dan tinggal seminggu di rumah saya semasa dalam pantang dan mengalami pendarahan , Muna/ Ummu Muaz yang ziarah dan mengajar saya cara menukar tampalan menutup kesan jahitan C- section rakan saya itu yang jahitannya terbuka sedikit. Anak-anak Muna semunya baik-baik belaka dan menjadi sahabat Izzat dan Mimi. Mula-mula anaknya Maram muda setahun dari Mimi memang kaki buli mimi tapi bila mimi dah pandai cakap arab, dia tak berani lagi buli sebab mimi lawan balik dan akhirnya mereka main tanpa gaduh lagi .

Saya riindu untuk ke sana lagi dan sudah pasti mereka di sana akan saya lawati untuk hilangkan rasa rindu. Masa kami bersalaman mengucapkan selamat tinggal airmata kami tak dapat ditahan-tahan hingga mimi dan maram berkata sesama sendiri , " mak awak nangis dan mak saya juga nangis ... " Ummu Muhammad memeluk saya sambil menangis seolah-olah tidak mahu melepaskan saya ..... InsyaAllah kita bertemu lagi suatu hari nanti.

Jika saya telah setahun berada di tanahair , beberapa bloggers lain juga rasanya ada yang juga sudah dan hampir setahun kembali ke Malaysia termasuklah Mamasarah UK ( terlalu lama saya tidak dengar khabar berita ) , Zakiah Dubai , Ajzie Germany serta Mulan Vietnam yang semuanya kembali ke Malaysia tahun lalu. Saya pasti mereka semua masih merindui suasana dan penghidupan di luar negara yang berlainan budaya serta citarasa .

Apapun kehidupan tetap diteruskan tanpa mengira di mana kita berada dan segala yang manis menjadi kenangan indah sepanjang hayat dan segala kepayahan dan kesulitan menjadi cabaran buat kita semua.

Selamat berhujung minggu buat semua.

Friday, September 5, 2008

5 Ramadan


Salam Ramadan buat semua.


Kejap je dah masuk hari ke 5 umat Islam berpuasa . Alhamdulilah Mimi juga masuk hari ke 5 berpuasa walaupun malam semalam dia muntah sebab gatal tekak. Saya dapatkan ubat sakit tekak dan ubat batuk dan dia tetap bersemangat nak berpuasa 30 hari dan dia nak 5 duit merah dan 10 duit hijau dari ayahnya. Dia nak duit hijau sebab dia tak de duit hijau dalam handbag hello kitty dia . Mimi belum tau nilai matawang merah, hijau dan biru , dia sebut aje nak duit warna apa . Ayahnya kata banyaknya nak kena bayar pada si mimi tu .... hahahaha.


Sebut pasal Ramadan memang tak boleh lari dari bunyi mercun . Saya tak tau tempat lain tapi tempat saya ni ada je 'hantu' mercun setiap tahun. Mereka ni bukan tinggal di kawasan saya tapi saja suka-suka bakar mercun atau main mercun di sekitar kawasan perumahan kami ,nak-nak di jalanraya sebelah pagar kami , betul-betul sebelah bilik tidur Zaid .Pelik sebab masa orang azan Isyak mereka boleh letupkan mercun , bunyi macam bom. Semalam Zaid dah jengok keluar nak lihat sapa main mercun dia nak marah mereka tapi tak nampak sapa2 sebab mereka naik motor . Pernah dulu saya talipon polis dan polis kata mereka sentiasa ronda masa bulan puasa dan meman akan ambil tindakan pada sesiapa yang main mercun. Harapnya tahun ini pihak polis akan memantau perkara ini seperti dulu. Saya hairan dari mana mereka dapat mercun itu ...mesti ada penjual yang memang suka melanggar undang-undang dan memang otaknya di lutut.


Selamat bercuti di hujung minggu !!



Wednesday, September 3, 2008

3 Ramadan..

Salam Ramadan buat semua.

Pagi ni nak cerita kisah bukan berkaitan Ramadan tapi ada kena mengena jugaklah.....

Masa kami tiba di Chiang Mai, Thailand awal bulan Ogos lalu, kami disambut oleh si gadis manis berpakaian tradisional Thailand dan dikalungkan rantai bunga oleh si gadis manis . Lihat saja gambar di bawah, tersenyum darling saya diapit si gadis manis , nasib baik tak melayang kopiah . Memang gadis tersebut amat cantik , ayu dan manis dan menggunakan kecantikannya mencari makan. Dia dan seorang jurugambar siap sedia menyambut setiap pelancong yang tiba dan sebelah malamnya gambar-gambar tersebut berserta frame yang cantik telah pun siap dan tiba di hotel lobby untuk sesiapa yang ingin membelinya. Siapa yang tidak mahu , tentu sahaja laris sebab bukan mudah untuk bergambar dengan gadis Siam yang cantik.





Bulan puasa ni kaum lelaki terutamanya kenalah menahan pandangan agar tidak terpandang apa-apa yang mengurangkan pahala puasa dan bagi kaum wanita pula jagalah kedudukan kita semua sebagai wanita muslim.......




Ini pula petikan metro ahad yang ada gambar mimi yang saya tangkap dan apa yang pasti gambar tu diambil dari blog saya sebab orang lain tiada gambar tu...
Selamat berpuasa buat hari ke 3. .....

Tuesday, September 2, 2008

2 Ramadan.......

Salam Ramafan buat semua.

Semalam berjaya juga mimi puasa buat kali pertama. Dari pagi asyik berulang ke dapur , sakit tekaklah, laparlah dan waktu hanya 10 minit lagi waktu maghrib, perutnya berbunyi dia kata dan Alhamdulillah dia berjaya.Semuanya kerana saya cabar dia agar berlawan dengan maya yang telah mula berpuasa seawal usia 3 tahun. Mimi puasa juga hari ini kerana dia nak lawan maya katanya. Semoga berjaya. InsyaAllah.

Pagi tadi setelah membaca komen Neeza di blog saya dan entry di blognya, saya terus menalipon mak neeza bertanya khabar dan saya melawat maknya sewaktu masa melawat di hospital tengahari tadi. Batu karang , itulah yang doktor nyatakan dan maknya masih demam dan diarahkan agar minum air banyak untuk mengeluarkan batu karang tersebut,InsyaAllah.

Semalam kami ke bazar ramadan di tengah bandar kemaman , lokasi bazar berubah tahun ni dari tempat biasa. kali ini memang jam teruk di tengah bandar tapi kami tetap bersemangat mencari makcik ayam percik yang hanya ujud di bulan ramadan dan oleh kerana ayam perciknya memang sadap kami gagahi jua merentas kesesakan orangramai dan kami jumpa makcik ayam percik tersebut . Makanan lain tak menarik minat kami dan hari ini saya masak juadah berbuka , ikan asam pedas , sayur campur dan ayam panggang. Petang nanti Izzat kata nak beli pizza di pizza hut ,dari semalam duk sebut2 nak pizza .

Surau berdekatan rumah dikunjungi ramai ahli jemaah dan Izzat pula bertadarus selepas solat tarawikh. Alhamdulillah program tahunan ini mendapat sambutan amat menggalakkan dari kalangan kanak-kanak dan remaja serta orang dewasa.

Semoga kita diberkati di bulan mulia ini. Amin.

Monday, September 1, 2008

Salam Ramadan....

Salam Ramadan buat semua.

Pagi ni jam yang dikunci 4.45am tak berbunyi sebab salah set .Alhamdulillah Zaid terjaga 5 am dan kejutkan saya . Pagi ni saya kejutkan mimi untuk mula berpuasa dan seperti biasa rumah kami sahur makan cereals dan susu saja. Saya dan darling juga dulu macam tu , susu dan cereal tapi sejak dah tua ni, saya kena jugak sekali sekala makan nasi /roti . Tahun lalu saya sorang je sahur makan nasi /roti sebab darling tak berpuasa di Malaysia . Tahun ini InsyaAllah 10 hari lagi darling balik dan saya akan ada gang makan nasi / roti semasa sahur. Anak-anak memang dah terbiasa sahur dengan cereals dan susu. saya juga beri mimi minum vitagen . Harap dia tahan berpuasa sebab anak-anak yang lain telah mula berpuasa semasa berusia 6 tahun.

Jam 2 pagi tadi saya terima satu panggilan yang mengubah status saya dari mak sedara kepada nenek sedara atau wanmommy sedara apabila saya mendapat cucu sedara yang pertama (sebelah adikberadik saya ) iaitu anak kakak sulung saya yang sama tarikh kawin dengan zaid telah selamat melahirkan anak perempuan jam 1.30 pagi tadi , dapat anak 1 Ramadan dan hanya 1.30jam melebihi tarikh merdeka. Sedikit masa lagi saya akan menimang cucu sendiri sebab ikutkan tarikh due azra hanya sebulan saja lagi . Minggu lepas zaid telah membeli katil baby dan saya yang terlebih excited bila lihat katil baby sekarang teramatlah comel dan canggih. Mula2 zaid pilih katil yang biasa tapi saya yang berkenan model terbaru yang siap ada tempat tukar lampin baby attach pada katil tu, saya kata saya belanja harga yang lebih dari katil pilihan pertama zaid , lepas tu tengok pulak stroller, berkenannya yang canggih jugak tapi zaid kata nanti dia nak balik Jordan baru nak beli , so kemudianlah pulak baru saya tolong belikan atau tokdaddy pulak belanja. Excited betul bila masuk kedai barangan baby tapi yang buat saya 'geram' sebab zaid tak nak bagitau baby apa, sebab saya tak tahan lihat baju-baju baby girl yang cute semuanya, nak beli kot bukan girl.... tunggu ajelah.... ggggrrrrrrrrr.......

Semalam semasa saya membelek akhbar metro ahad yang zaid beli ( saya jarang nak beli paper !! ) sampai mukasurat c27 dengan tajuk "Bangunkan Kreativiti " saya ingat saya silap lihat dan setelah beberapa kali saya kembali melihat gambar di situ saya terus teruja memanggil semua mereka ( zaid, azra, izat dan mimi ) agar segera kepada saya untuk melihat gambar yang tertera di akhbar tersebut....

Nak tau gambar apa ?????

Gambar mimi semasa hari sukan sekolah dia yang lalu. Saya taktau dari mana akhbar tu ambil foto tersebut sebab memang gambar tu saya sorang je yang tangkap dan saya letak dalam blog... seseorang telah grab dan copy gambar dari blog saya . Tak pasal2 mimi jadi famous semalam, kawan2 Izat pun ada yang perasan mimi masuk paper.. nanti lapang saya scan dan postkan article dan gambar mimi tu dalam blog.

Petang semalam saya ke Tunas Manja untuk membeli grocery... punyalah ramainya manusia kat sana, nasib baik dapat jugak parking space. Rasanya semua mahu membeli makanan buat persediaan menyambut Ramadan. Dalam perjalanan pulang di hypermarket nirwana saya lihat parking lotnya jugak padat dengan kenderaan pelanggan .Saya dapat rasakan Kemaman semakin ramai penghuninya dari 10 tahun lampau .

Lupa nak bagitau yang pagi semalam kami semua berkesempatan menyambut merdeka dengan pergi melihat perarakan dan perbarisan peringkat Terengganu yang diadakan di Kemaman .OKlah kiranya walaupun perbarisan beberapa kali terhenti kerana katanya 'bertembung' /jam di hadapan, pelik macamana perbarisan boleh jam ...... first time buatlah katakan , yang pelik tu banyak jugak kumpulan yang berarak dari cawangan umno dari sekitar kemaman yang saya rasa tak kena tempat, kalau setakat umno bahagian kira oklah , ini entah berapa cawangan umno dengan pakaian yang 'serebeh' dan tak marching' pun ,siap sembang-sembang lagi macam jalan makan angin . Pada saya mereka yang mencacatkan perbarisan semalam dan pulak tu pasukan JKKK entah berapa banyak , hampir setiap kawasan yang ada JKKK ikut berarak . .. terasa perarakan di kemaman semalam macam low class je... pakaian pun tak de yang unik pun .... anyhow pengalaman yang pertama kali buat mimi dan dia sampai petang asyik sebut " kiri, kiri, kiri kanan kiri " .....

Petang semalam lepas balik dari Tunas manja saya ambik majalah Anjung Seri yang saya tak habis baca lagi , sekotak kurma(makan 5 biji je , takut terlebih manis ) dan segelas jus oren dan duduk di bangku luar rumah , ambik angin sorang-sorang .... baru minggu lepas kami bergelak ketawa beramai-ramai makan durian , rambutan dan mata kucing.. semalam tinggal saya sorang ( kebetulan semalam tak de sapa nak duduk luar ) ....