Friday, October 31, 2008

Selamat Jalan .....

Pagi semalam saya ke rumah jiran Cikgu Wahida yang akan berpindah ke Qatar dan pagi ini mereka akan ke KL dan seterusnya terbang ke Qatar hari Ahad nanti. Suami beliau telah berada di Qatar semenjak Jun tahun ini dan kini baru mereka bertujuh ( 6 anak ) menyusul ke sana . Tidak tahu berapa lama mereka akan menetap di sana. Izzat akan kehilangan 3 sahabat baik yang sama-sama meminati bolasepak dan PS games sejak dari kecil .

Semoga kalian bahagia di sana dan semoga berjumpa lagi. Selamat jalan semua.

Saya tidak dapat nak ucap selamat jalan pada mereka pagi nanti ( 10 pagi ) kerana saya akan ke dewan SMC menghadiri Majlis Konvokesyen Tadika Awlad Sri Cemerlang , Syamimi akan tamat pengajian di tadika ini .Setahun bagaikan baru sebulan sahaja berlalu.

Gambar-gambar sepanjang pertemuan Syamimi dengan kakak Syamimi ....






Jumpa lagi dengan gambar persembahan Mimi di majlis konvo.....

Thursday, October 30, 2008

Syamimi bertemu Syamimi...

Salam ceria buat semua.

Siapa sangka atas nama Syamimi kami bertemu. Dia bernama Syamimi dan anak bongsu saya bernama Syamimi . Dia mula menghubungi saya melalui emel semasa saya masih di Jordan setelah membaca blog saya dan kisah anak saya yang sama nama dengannya , kemudian kami sering berchatting bila kami kelapangan . Saya selesa sekali bila berchatting dengannya kerana terasa macam saya berchatting dengan anak-anak saya Sofie dan Maya sebab ada je perkara kelakar yang kami bualkan dan plan . Saya memang biasa kalau chat atau call atau sms dengan anak-anak , kami bergurau dan berbual macam kawan-kawan . bukan macam ibu dan anak . Begitulah saya bermesra dengan Syamimi yang hanya saya kenal di alam cyber. Dia seorang pelajar di MMU , Melaka dan kini dia sudah ada blog sendiri , ini blognya. Sejak pulang ke Kemaman , kami jarang berchatting kerana saya sukar mencari masa terluang ( bukan dengan dia saja saya tak berYM, hampir dengan semua yang dulunya saya selalu juga online chatting !! ) .

Kalau nak tau, petang semalam Syamimi bersama ayah, ibu dan adiknya telah singgah di rumah saya semasa dalam perjalanan pulang ke KL dari Kuala Terengganu . Oleh kerana tak pasti jam berapa mereka tiba di Kemaman , saya mula memasak sebelah pagi , mak mee kari dan dadih vanilla. Rupanya petang baru mereka tiba. Tak sangka Syamimi sudi singgah teratak kecil kami . Pertama kali bersua muka , dia memang seorang yang sopan macam yang saya bayangkan. Lembut wajahnya dan manis senyumannya. Ibu dan ayahnya juga baik dan peramah . Ibunya banyak tau kisah saya dan keluarga kerana Syamimi biasa bercerita kisah saya pada nya.

Inilah pertemuan kedua saya dengan rakan cyber berpangkat anak pada saya kerana biasanya jumpa rakan sebaya /makcik /pakcik bloggers. Kali pertama adalah bila berjumpa Asma' .anak Nurazah di Amman dulu, kami juga kenal melalui alam maya baru bersua muka .

Sessi bergambar Syamimi bertemu kakak Syamimi berlangsung semalam dengan Syamimi kecil agak malu mulanya walaupun dia sangat teruja untuk bertemu kakak Syamimi.

Terimakasih saya ucapkan pada Syamimi dan keluarga yang sudi berkunjung ke sini . Semoga persahabatan kita berpanjangan,

( gambar2 belum sempat nak masukkan dalam komputer , nanti kemudian )

Tuesday, October 28, 2008

Apakah itu ??????

Tiba-tiba terasa ada seseorang/sesuatu membuka pintu bilik tidur dan kelibat nya terus duduk sebelah saya iaitu tempat mimi tidur. Terasa jantung saya berdegup kencang . Sepantas kilat tangan nya terus mencengkam atas sedikit dari pergelangan tangan kiri saya. sakit terasa kerana saya rasakan tangannya berduri-duri dan cengkamannya amat kuat. Saya masih tak dapat melihat siapa atau apa yang mencengkam tangan saya. Saya terus azan tapi ia tetap mencengkam dengan kuatnya dan durinya kian teasa menusuk tangan saya.

Saya azan sampai habis namun ia tetap tak lepaskan tangan saya.... saya teringat yang Zaid ada di rumah...dengan suara terketar-ketar saya menjerit memanggil nama Zaid dan jeritan saya makin lama makin kuat.....

Zaid menyentuh tangan saya dan tanya ada apa saya menjerit memanggil namanya ... tiba-tiba saya rasakan yang tangan berduri telah tiada. Saya bagitau Zaid ada sesuatu yang cengkam tangan saya dan dalam masa yang sama saya genggam tangan Zaid dengan kuat kerana rasa takut . Zaid membaca ayat kursi dan ketika itu saya macam bingung sebentar... rasa macam mimpi tapi saya ingat segalanya macam di alam nyata dan jeritan saya kuat hingga Izzat di tandas bahagian dapur rumah dapat mendengar jeritan saya.

Saya lihat jam baru pukul 10.14 malam. Telah 4 malam saya masuk tidur awal ,belum jam 9 malam sebab setiap hari saya rasa amat letih dan tak bermaya tapi malam tadi baru pertama kali saya rasa ada sesuatu mengganggu saya.... Hampir jam 1 pagi baru saya kembali lelap tanpa gangguan sesiapa/apa-apa hingga alarm jam berbunyi 5 pagi.

Apa agaknya yang datang mencengkam tangan saya...berduri tajam.... siang semalam kami ke Al Amin Kerteh ada majlis raya dan lepas tu kami merayau ke dalam kawasan hutan saja nak explore kawasan rumah kawan-kawan Izzat dan beberapa kali kami sesat jalan dalam hutan dan sebelum tu saya kata pada Izzat kawasan tu dulu tempat jin bertendang dan saya memang mahir sebab itu dulu adalah 'kampung ' saya ( 4 tahun di kerteh buat saya mahir selok-belok di situ ) .....

Mungkin kah sesuatu telah ikut saya balik ...... entahlah.... segalanya tidak boleh dilihat dengan mata kasar.....

Hingga pagi ini saya dapat ingat dengan jelas apa yang berlaku pada saya malam tadi.....

Sunday, October 26, 2008

Evergreen Models .......

Hari ni saja nak letak gambar pasangan model evergreen di persada antarabangsa....










Nak kata apa pun katalah.... janji pasangan model di atas bahagia.....selamat bercuti !

Saturday, October 25, 2008

Suatu hari di hari Jumaat.

Semalam hampir seharian penuh aktiviti ........

8.00 am Sarapan di Padang astaka ( mimi suka sangat ke sini dan Izzat suka jogging di sini ) .

8.30 am Merayau pasar pagi di sebelah padang astaka nak beli dulang stainless steel , beli 4 yang sederhana saiznya , mimi beli ikan emas 3 ekor .

9.45 am Ke surau dekat rumah tolong potong-potong bawang sebab petang nanti ada majlis raya .

11.45 am Balik rumah ada tetamu datang dari KT, Lan dan family . Saya hidangkan milo dan biskut cornflakes yang saya baru buat semalam ( kali ke 3 buat sejak raya sebab semua satu rumah suka makan biskut ni ). Lepas tu saya terpaksa tinggalkan tetamu saya sebab dah janji nak ambik pesanan kuih samosa ikan yang saya tempah untuk majlis raya di surau dan di al amin petang nanti . Semasa ambik kuih samosa saya sempat singgah di beriani bistro beli nasi beriani untuk saya jamu tetamu saya .

12.45 pm Saya terus hidangkan nasi beriani yang saya 'masak' dalam kereta kepada isteri Lan dan anak-anak sementara kaum lelakinya ke masjid untuk solat Jumaat . Sementara mereka makan saya susunkan samosa ikan dalam 4 dulang yang saya beli pagi tadi . 300 biji samosa dimuatkan dalam 4 dulang , 2 dulang untuk surau , 2 dulang untuk Al Amin . Balik Jumaat Lan dan yang lainnya makan tengahari.Mereka pulang jam 2.45 petang.

3.15 pm Saya, Mimi dan Izzat ke surau , majlis bermula jam 3 petang, masa kami ke sana dah ramai tetamu hadir, sebab saya dah kenyang saya cuma makan 3 ketul kecik lemang dan rendang dan mimi pulak makan 2 potong tembikai . 100 biji samosa yang saya letak atas meja hidangan wanita habis tak sampai dalam masa 10 minit ( meja lelaki Izzat yang letak 100 biji juga ) .Lepas makan dan sembang sekejap saya minta diri dan bawak balik dulang kosong( lega habis sebab samosa kakyam yang saya tempah memang sedap ).


3.40pm Terus bersama Izzat dan 2 rakannya ke Al Amin untuk sambutan raya juga , saya bawa 2 dulang samosa juga, satu meja perempuan satu untuk meja lelaki. Saya masih kenyang, cuma makan 2 keping roti jala dan rendang , kongsi dengan mimi . Dulang samosa nanti Ahad baru Izzat awak balik ( sayang dulang sebab stainless steel dan baru beli ...hehe ).


5.20 pm Masa tengah mandi jiran2 datang nak ziarah cucu , saya hidangkan air soya dan sebab lama tak jumpa lama lah jugak bersembang.Sementara tu saya suruh Zaid bawak balik dulang saya yang satu lagi di meje lelaki masa Zaid pergi jamuan raya di surau. Dulang saya dah diisi dengan lemang pulak dan ada kesan lemang , tak pe janji dulang saya kembali kepada saya.Tetamu pulang jam 6 petang .


Malam saya dah rasa letih sangat , tak makan malam pun dan teringat Mizi yang bak balik ke syria pagi ni nak datang rumah lepas Isyak.... tunggu hingga jam 9.15 dia masih belum tiba...saya pun masuk bilik dan tidur bersama mimi .Rupanya Mizi datang jam 9.30malam dan Zaid yang melayannya. Maaf saya pinta sebab memang dah tak boleh buka mata dah .

Itulah Jumaat saya semalam.


Salam hujung minggu buat semua.

Friday, October 24, 2008

Kisah benar minggu ini.

Himpunan kisah benar sepanjang minggu ini.....


1. Perbualan dari meja sebelah semasa bersarapan di padang astaka .....

Suami : Nak ke taman ( permainan ) bawa adik . Jap lagi ambik order ( sarapan ) .

Isteri : Abang nak minum apa ?

Suami : Cam biasalah.

Isteri : Minum apa ?

Suami : Biasalah ( nada agak tinggi ) . Order je cam biasa.

Isteri : Biasa , biasa, salah order karang marah .

Si suami terus berlalu bawa si anak ke padang permainan sementara menanti minuman 'biasanya' diorder .

Komen saya : Apa salahnya si suami cakap je dia nak minum apa kan mudah, entah2 dia yang biasa minum luar, mana isterinya nak tau apa yang biasa diordernya....ego lebih ..menyampah.





2. Di satu simpang 4 ber traffic light dekat Masjid Sultan Ahmad...lampu merah .

Sebuah motorsikal selambanya terus jalan walaupun lampu merah dan pada masa yang sama sebuah lagi motorsikal yang juga dari arah yang lampunya juga merah dengan selambanya jalan terus juga dan motor tu pulak siap bawa isteri yang mengendong ( bukan mengandung ) bayi kecil ..... sikit lagi nak berlanggar sesama sendiri .

Komen saya : Maaf pada penunggang motosikal , saya memang selalu fed up dengan perangai kalian, otak selalu letak kat lutut, tak memikir keselamatan diri sendiri, patutlah mangsa kemalangan jalanraya selalunya golongan yang otak di lutut .


3. Semasa menanti Izzat memebli kasut di yellow town (tak de parking kosong , parking kat line kuning dekat paip bomba , tunggu dalam kereta ) .

Dua pemuda bangla saya lihat ulang-alik dari kedai kain ke casa limbong bawa peralatan pengantin ( pameran pengantin kini ada di casa limbong selama 3 hari ) . Peliknya setiap kali keluar dari kedai kain mereka hanya membawa sedikit sahaja barangan seperti satu tiang pelamin, 3 paket kain , ulang lagi bawa lagi sebatang tiang pelamin dan masa menanti Izzat saya kira tak kurang dari 5 kali mereka berdua ulang alik .

Komen saya : Rugi tenaga..kan senang bawak je banyak barang sekaligus, cepat je siap semua kerja dan nampak macam tiang2 tu macam ringan je , jalan pun macam jalan sempoi je, bukan macam jalan orang yang bekerja.



4. Di pasar borong kemaman ...lepas beli ulam-ulaman saya singgah di kedai selipar sebab tertarik dengan selipar berbulu yang dulu banyak di jordan ....

Saya : Berapa harga selipar ni ?

Penjual : 8 ringgit.

Saya : Pakai dalam rumah sedap ni ( nak peramahlah kononnya ).

Penjual : Memang selipar dalam rumah ni .Orang dok pakai kat luar.

Dalam hati saya : Malunya saya , memanglah mana ada orang pakai selipar berbulu siap ada gambar kartun rabbit kat luar rumah... lain kali usahlah jadi peramah sangat, beli aja tak payah nak tunjuk pandai , kan dah malu. Saya beli dan memang sedap dipakai dalam rumah...hehehe.


( selipar/stokin yang neeza bagi masa balik May lalu amatlah sedapnya dipakai masa tidur, setiap malam akak pakai nya, dan memang tak sesuai dipakai di luar rumah ...hahahaha ) .


Itu sahaja buat minggu ini.... selamat bercuti buat semua.

Wednesday, October 22, 2008

Terima kasih daun keladi.....

Cerita bergambar buat hari ini..... antara hadiah yang diterima dari rakan bloggers dalam bulan syawal ini.... terima kasih daun keladi , semoga persahabatan kita kekal abadi.....



kacang pool ( satu tin dah habis .... ) dan bedak M & S ..tetap pilih wangian lavender ( ungu beb ) , mimi yang tumpang guna jugak.... hadiah dari Singapore top model.... ribuan terima kasih .



topi tu Queen L yang bagi sebagai hadiah kawin Zaid... thank you ye groovy granny !!


oil lamp dari saudi mommy ...tudung hitam tak sempat nak snap gambar .. akak memang suka oil lamp/ zen burner, macam tau-tau je...syukran.



carry cradle hadiah dari makteh Umair.... lena nya dia ....


lunch bag untuk ibu umair isi barang baby ...hadiah dari International Hill...thanks a bunch !!


Salam dan jutaan penghargaan buat semua yang sudi menjengok blog wanmommy....

Saturday, October 18, 2008

Bila Air Liur ( basi ) Meleleh .....

Salam hujung minggu buat semua... hari ni aktiviti utama menghadirkan diri ke majlis perkahwinan 2 pasang pengantin, anak-anak sahabat saya di taman Islam.


Selamat Pengantin Baru buat Sabariah dan pasangan serta Jalal serta pasangan.


Tak de apa nak diceritakan ...pagi tadi baru buka emel setelah tak buka buat beberapa ketika dan dapat emel di bawah ni dari darling saya ... biasanya dia sms atau pun call , mungkin kisah ni agak panjang dia sent emel pada saya...... geli pulak bila baca... darling saya sanggup lihat pulak tu... bacalah.....


Salam,

Semalam duk dekat dengan sorang india (flight Colombo ke Abu Dhabi). Dia ni dari mula gerak je kapalterbang dah berdengkur, satu kapal terbang boleh dengar dia berdengkur. Berdengkur sepanjang perjalanan kecuali masa makan. Dia tidur membongkokkan badan (tak sandar) and yang bestnya, air liur dia meleleh sampai basah baju dia….eeei. Sepanjang perjalanan air liur dia meleleh.

Bila dah landing kat abu dhabi dia masih berdengkur. Pastu dia tersedar masa org mula bangun nak turun. Diapun ambik barang dia. Yang bestnya, dia boleh duduk semula and start berdengkur semula……

Saja nak kongsi pengalaman air liur basi.


Wassalam


Friday, October 17, 2008

Kisah maksu mimi ... populariti menurun ...

Salam ceria di pagi Jumaat yang mulia.

Pagi ni tekak terasa semakin perit dan kering serta batuk yang tambah memeritkan tekak. Semalam baru saya dapat mulakan puasa enam tapi teruk menahan mengilu bila nak buang air kecil sebab masih belum sembuh sepenuhnya . Sampai jam 4 saya rasa macam dah lemah sangat sebab memang penyakit kencing kotor kena minum banyak air tapi saya gagahkan jugak dan dapat lah habis puasa semalam. Hari ni saya tak puasa sebab nak kena habiskan ubat dan antibiotik dan sihat baru sambung balik puasa, InsyaAllah. Harap sempat kejar puasa sunat syawal sebab hari ni dah hari ke 17 , Izzat yang laju puasa eam, tinggal 2 hari lagi puasa enam dia .

Mimi yang sibuk dari minggu lepas suruh saya ganti puasa sebab dia tau saya ada tinggal puasa dan wajib ganti . Dari minggu lalu Mimi juga sibuk berlatih nasyid untuk majlis ihtifal sekolah tadika dia tak lama lagi , siap hafal dengan gaya dan dia kata dia juga masuk joget malaysia, saya suruh tunjukkan macamana joget malaysia setakat ni dia tak nak tunjuk...saya saja nak tengok betul ke joget malaysia ( saya pakar jugak bab tarian malaysia ni...cerita lama dulu ... ) . Saya tanya lagi menari dengan budak lelaki ke, terus dia jawab, mana boleh menari dengan budak lelaki, perempuan menari dengan perempuan sajalah ( saja saya nak test dia sebab sekolah ni sekolah tadika Islam ) . Bulan Ogos lalu mimi masuk grading taekwando untuk tali pinggang kuning, Alhamdulillah dia dah pass dan dah dapat talipinggang kuning, tak sangka dia yang dulunya angkat kaki pun tak berapa betul , masa grading bukan main tajam dia kick dan tangannya laju bila punch serta suaranya sebut " hekkk" bergema dalam dewan ujian.Itulah serba sedikit kisah maksu mimi yang popularitinya sedikit menurun diragut oleh si anak sedara Umair... masa besan saya datang minggu lalu , besan tanya mimi seronok ke dapat anak buah...terdiam mimi dengar anak buah... dia selalu kata anak sedara, kali ni anak buah pulak..kat mana buahnya... keliru mimi sekejap ... kalau Umair anak buah maknanya Mimi adalah mak buah ..hahahahah... dia juga sedikit keliru anak sedara dengan anak dara...apalah maksu ni....kena banyak belajar ....

Thursday, October 16, 2008

Nyaris terlepas .........

Badan saya dah semakin sihat, Alhamdulillah. Tak kerap ke bilik air dan tido pun dapat tido lena.

Pagi semalam selepas hantar mimi ke sekolah, saya dan darling terus ke Kuantan Airport kerana flite darling jam 10.20 pagi.... cuti darling 36 hari dah habis, kejap je kan rasanya .... puasa , raya dan dah habis cuti......

Memasing tak tengok maklumat flites di screen , masa cek-in baru tau yang flite pagi tu delay 2 jam dan akan ke KL jam 12.35 tengahari. Ahhh sudah ... kata darling... flite seterusnya dari KLIA jam 2 petang, kalau naik dari Kuantan dijangka tiba jam 1.10 tengahari , sempat ke nak ambil boarding pass, baggages memang boleh cek-in terus dari kuantan ke abu dhabi....mulalah call sana call sini dan pastikan counter di KLIA keluarkan boarding pass dan tunggu darling tiba dan pastinya akan tiba ngam-ngam masa flite boarding. Agen di sana kata okay dan dia akan pastikan yang darling dapat nauk flite jam 2 petang tu. Siap suruh darling ambik boarding pass di domestic transfer counter untuk cepatkan urusan dan dapat kejar flite segera.

Tunggulah di airport sebab malas nak merayau ke tempat lain..ramai lah jugak bertemu rakan darling yang memasing ada urusan di KL, Penang dan Singapore ...semua terpaksa tukar connecting flites atau pun meeting pada hari itu . Jam 12.10 masih belum tiba flite dari KLIA... darling masuk waiting room jam 12.20 masih belum tiba flite itu...Saya meninggalkan airport jam 12.25 dengan harapan darling sempat kejar flite tapi rasa macam tak sempat je . Kalau kami ke airport awal pagi mesti kami dah drive ke KLIA .. pasrah saja pada ketentuanNYA.



Jam 12.53 dapat sms dari darling kata dia dah duduk dalam flite dan tunggu masa berlepas.... tawakal saja , katanya.



Jam 1.54 dapat sms lagi kata dia dah duduk dalam connecting flite dan tunggu masa berlepas ...... Wah sempat jugak rupanya kejar flite tu....

Rupanya setiba di KLIA jam 1.42 pm, di transfer counter, agen dah siapkan boarding pass, dan lepas saja urusan di Imigresen, kakitangan MAS bawa darling naik buggy terus ke pintu flite dan dengan sebab layanan yang begitu baik, darling dapat pulang ke UAE dengan selamat...walaupun baggages tak pasti tiba sekali tapi MAS kata kalau barang tak dapat fly sama, mereka akan pastikan bags naik flite Mas ( darling tak naik MAS ) malam tadi.....




Bila semalam di airport terasa pulak macam jadi peserta Amazing Race.... sure darling terkejar-kejar nak masuk flite ..... pengalaman baru juga tu .... payah nya kalau flite delay kan .... dah timing okay alih-alih nyaris tak dapat balik ....





Semalam petang lepas asar rasa letih sangat badan ... alih-alih jam 6 petang saya terlena....terjaga jam 6.15 petang... memang tak pernah tido lepas asar tapi dah terlalu mengantuk, 15 minit pun jadilah.... malam rasa macam nak selsema..tak pegang pun Umair, hanya tengok aje sebab takut menjangkit pulak .. pagi semalam Zaid bawa Umair untuk test darah, dah turun kuningnya tapi masih kena follow up ahad nanti.

Semoga semua ceria hari ini..... harap happy lah tengok gambar Umair di sini.....









Tuesday, October 14, 2008

R & R .....

Selepas hari Sabtu yang sungguh sibuk dengan 48 lagi tetamu dari 10 keluarga datang beraya termasuk keluarga besan saya dari Rembau dan keluarga Maklang Kerteh , badan saya terasa sangat letih dan lesu dan lepas besan pulang pagi Ahad saya telah mula demam dan tak berhenti buang air kecil dan terasa sakit sebelum, semasa dan selepas buang air kecil . Umair cucu saya pun saya tak pegang sebab takut menjangkit demam.

Pagi Isnin rasa sihat sikit terus ikut darling ke Kuantan nak beli laptop baru ( darling punya ! ) dan makan ubat demam dan saya asyik ke tandas untuk buang air kecil. Masih bertahan lagi, lepas asar pergi pulak Mesra Mall yang sepatutnya dikunjungi Jumaat lalu tapi punyalah 'jakun' nya orang Gannu ( jangan marah ye , memang ye pun ) ....jalan jam dari Kemasik lagi dan sanggup orangramai parking dekat sekilometer dari mall dan seberang longkang besar yang hanya gunakan paip air kembar dua yang setiap satu sebesar bantal peluk Umair , parking sampai dalam hutan dekat Sekolah Rantau Petronas . waktu keluar dari rumah Neeza di Kemaman , maklang called dan bagitau saya tak payahlah ziarah Mesra Mall sebab jam teruk....

Semalam dari jam 6 hingga 7.30 malam di sana saya ke tandas 3 kali dan memang tak patut Mesra Mall tu dibuka sebab masih belum banyak kedai yang sudah dibuka . Kami makan pizza , solat dan pulang sebab Izzat ada tusyen jam 8 malam. saya pulak dah tak tahan lagi terus ke klinik tapi doktor 'peribadi' saya tak de, jadi pagi tadi baru saya dapatkan rawatan dan sah saya kena jangkitan/kencing kotor . Makan ubat dan minum air barli dan nak baca buku "100 wonders of the world " yang saya beli di Popular semalam.

Buat masa ni saya kena rawat dan rehat ...... sekali-sekali kena jugak body ni berhenti di R & R...

Friday, October 10, 2008

Lesu musim raya....

Salam ceria buat semua di pagi Jumaat yang hening.

Pulang dari pengkebumian Ayah Chik petang semalam saya rasa badan terlalu letih dan tak bermaya. Setelah 9 hari bulan Syawal berlalu baru teringat yang badan saya tidak cukup rehat , raya dan sambut cucu . Kebetulan semalam jadual saya padat kerana pagi lagi saya membawa cucu saya ke klinik untuk diuji darahnya kerana disyaki ada sakit kuning dan sah memang ada dan agak tinggi juga bacaannya dan pagi ini saya dikehendaki membawanya sekali lagi untuk diuji darahnya.Harap dah turun bacaannya sebab semalam cucu saya kuat minum susu dan banyak buang air kecil dan air besar.Tengahari dan petang saya berada di Taman Islam ,ribuan anak murid Ayah Chik hadir dan saya juga sempat berjumpa ramai bekas anak murid saya di sana.

Cucu saya dah ada nama...... Umair ...... Umair bin Zaid .

Malam tadi sebaik saja selesai azan Isyak saya dan mimi terus solat Isyak dan jam 8.40 malam saya dah pun berada di alam mimpi. Dinner pun saya tak larat nak makan dah, letih satu badan dan tak bermaya lagi . Terjaga jam 1.30 pagi mata dah sukar nak lelap sebab tidur awal tapi saya baring jugak dan jam 5 pagi terlelap semula dan terjaga tak lama lepas tu sebab dah azan subuh . Pagi ni lepas solat terus ke dapur cari makan....sup tulang yang zaid masak petang semalam masih ada , panaskan dan makan nasi sup ... itulah kalau badan tak cukup rehat memang saya rasa macam nak pengsan .Sekarang dah ok , Alhamdulillah.

Nak cerita kisah raya lagi... 2 hari lepas ( Rabu ) ... pagi tu saya saja masak lontong sebab manatau ada tetamu datang beraya, elok lepas masak , rakan2 darling called kata nak datang raya petang tu dan semakin ramai yang called..kami jugak order satay dan lepas ziarah ayah Chik di hospital , tetamu tiba tak lama lepas asar, tengahari tu ada dah yang singgah beraya dan saya jugak jemput Neeza dan family, asar tu Neeza masih belum tiba dan saya ingat mesti dia sibuk dengan majlis sambut menantu di rumahnya Sabtu ini... Neeza called bagitau dia akan datang jam 8 malam... saya dah taktau nak hidang apa, satay tinggal beberapa cucuk saja lagi dan lontong pun hanya sikit saja lagi tinggal tapi rasanya cukup untuk neeza sekeluarga..... lepas neeza tiba dan dekat nak Isyak darling bagitau ada 2 family lagi yang called nak bertandang ke rumah lepas Isyak...memang sah mereka akan makan biskut raya saja sebab semua makanan dah habis , kuah lodeh masih ada tapi nasi impit dah habis. Saya suruh zaid keluar cari mana-mana gerai satay yang buka untuk beli satay tapi malangnya 3 buah gerai satay yang biasanya buka tutup pula malam tu....jadinya 2 buah keluarga yang tiba akhir hanya minum air soya dan makan biskut raya, rasa terkilan tak dapat sediakan juadah , nak masak makanan lain memang tak sempat sebab mereka called dah dekat sangat nak datang. Harap Neeza dapat rasa lontong yang akak masak . Sempat Mimi main bunga api dengan anak-anak Neeza malam tu . Sukalah Mimi ada gang main bunga api .

Dari tengahari hingga ke malam Rabu itu seramai 46 tetamu dari 9 buah keluarga hadir di rumah kami dan setakat ini bilangan tetamu yang hadir beraya adalah seramai 217 orang. Alhamdulillah.Tahun ni ramai dari tahun lalu , mungkin kerana darling ada beraya sekali dengan kami . Kuih raya yang saya beli dan buat semuanya habis , Alhamdulillah . Tinggal beberapa jenis biskut yang saya baru beli lepas raya yang masih ada berbaki.

Hari ni jadual agak padat juga... jam 9 bawa Umair ke hospital sebentar, tengahari ada majlis kenduri kawin anak jiran kami , petang cadangnya nak menjengok Mesra Mall di Kemasik yang baru dbuka hari ini ( habislah nelayang dok gi ke laut doh.... maing boling di mesra mo lah jawabnya...hehehe )

Salam dan jumpa lagi.....

Thursday, October 9, 2008

Ayah Chik Tn. Hj. Shafie dalam kenangan...

Al Fatihah .

Berita pemergian Ayah Chik Taman Islam Kemaman kami terima subuh pagi tadi. Airmata saya mengalir deras sebaik meletakkan talipon . Sayu , sedih dan pilu. Semalam kami sempat menziarahi Ayah Chik di hospital kemaman akibat kencing manis, kedua-dua buah pinggang gagal berfungsi dan paru-paru berair dan petang semalam beliau dipindahkan ke Hospital Besar Kuantan . Kami juga sebelum ini sempat ziarah beliau pada hari kedua raya dan masa itu beliau juga dalam keadaan uzur. Tak kami jangka Ayah Chik pergi mengadap Ilahi begitu cepat kerana kali terakhir kami bersua iaitu sebelum Ramadan beliau kelihatan ceria dan sihat.

Untuk pengetahuan semua Ayah Chik adalah seorang guru Al Quran yang amat pakar sekali , seorang pejuang pendidikan Islam dan dia juga adalah penggerak Pusat Pengajian Taman Islam di Kemaman yang telah berusia puluhan tahun dan telah melahirkan ribuan pelajar berteraskan pendidikan Islam. Anak-anak saya Zaid, Sofie dan Maya mendapat pendidikan awal di Taman Islam ini dan saya mula mengenali Allahyarham Ayah Chik tahun 1993. Ayah Chik seorang yang periang, peramah dan mudah didampingi sesiapa saja . Ayah Chik tegas semasa mengajar . Walaupun Ayah Chik beristeri tiga namun ketiga-tiga isteri nya amat akrab antara satu sama lain.Berkat sikap Ayah Chik yang pandai mengambil hati isteri-isteri beliau .

Saya baru pulang dari menziarahi jenazah Allahyarham dan akan kesana semula jam 3 petang ini kerana jenazah akan dikebumikan selepas solat asar petang nanti.

Sesungguhnya pemergian Ayah Chik tiada pengganti. Jasanya hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya . Semoga rohnya dicucuri rahmat.Amin.

Wednesday, October 8, 2008

Raya lagi....





cupcakes untuk dibawa ke surau di pagi raya.....


siap sedia meja hidangan menanti ketibaan para tetamu....

mimi tak nak pulak duit merah sebab dah ada banyak katanya ( dia daat duit merah masa balik Ipoh bulan puasa )...


antara tetamu yang tidak dikenali....


sorry gambar kurang jelas...tetamu yang dikenali...


Salam ceria buat semua .

Suasana raya masih terasa . Tatamu masih hadir ke rumah kami dan kali ini mereka juga sempat menziarahi cucunda kami. Kami tidak adakan open house jika kami beraya di kemaman, sesiapa sahaja boleh datang beraya pada bila-bila masa . Sehingga semalam sudah 171 tetamu hadir ke rumah kami sempena raya tahun ini, Alhamdulillah. Jemputan ke open house di sekitar kejiranan dah siap sedia menanti bermula pada tengahari ini hingga Sabtu dah penuh jemputan. InsyaAllah kami juga akan hadir di majlis sambut menantu di rumah mak Neeza Sabtu ini.

Gambar-gambar di atas adalah sekitar raya dan ziarah kami ke masjid-masjid terkenal seluruh dunia di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada raya ke 4 baru-baru ini.

Tuesday, October 7, 2008

Kisah cucu dan 'besan' .......

Kepada semua sahabat yang meninggalkan komen di entry lalu, terimakasih diucapkan.


KIsah cucu...



Tak sangka sayangnya saya kepada cucu boleh dikatakan sayang macam anak-anak juga . Pagi tadi semasa keluar sebentar mencari bahan2 makanan untuk masakan ibu dalam pantang tiba-tiba teringat kat wajah cucu dan rindu sangat dan nak cepat-cepat balik rumah tengok cucu. Petang semalam cucu dan menantu dibenarkan pulang ke rumah , Alhamdulilah kedua-duanya sihat.




Pagi tadi saya mandikan cucu dan rasa sedikit kekok kerana dah lebih 6 tahun tidak mandikan anak kecil. Pandai pulak si cucu tatap wajah Wanmommy sambil merengek-rengek . Rasanya saya akan menitiskan airmata bila cucu pulang ke Jordan kelak .



Kisah 'besan '.

Pagi tadi juga semasa saya ke rumah Makcik Nah tukang urut untuk buat temujanji urut lepas bersalin saya bertemu dengan 'besan ' saya iaitu 'mak mertua' Izzat yang telah 8 tahun tidak bersua muka . Last bertemu semasa majlis 'perkahwinan' Izzat dengan Syiqah di majlis Ihtifal PASTI Kemaman 8 tahun lalu. Macamanalah agaknya 'menantu' saya yang comel secomel 'besan' saya ..... tak sangka 'besan ' saya tengah sarat mengandung anak ke 6 ...

Semoga selamat bersalin ( nama 'besan' saya tak ingat... ,nak tanya malu....hehehe ) .

Monday, October 6, 2008

Wanmommy kini satu realiti ...

Salam ceria buat semua.

Alhamdulillah , pagi tadi jam 8.20 pagi lahirlah cucu sulong kami... seorang bayi lelaki, 3.5kg beratnya .



Syukur kami panjatkan atas rezeki dan ketentuan Yang Maha Esa dipanjangkan zuriat kami dan kini secara rasminya saya bergelar Wanmommy dan darling kini jadi Tokdaddy , mimi jadi Maksu, izat jadi Uncle , Maya jadi Makteh ( jangan marah ekk wak ) , Sofie jadi Makngah ( ada gelaran glamour lain ke ??? ) .



Nama belum ada lagi.....

Okaylah, Wanmommy nak bersiap-siap ke hospital nak gomol cucu comel ku....

Friday, October 3, 2008

Syawal,..... Alhamdulillah..........

Telah 3 hari Syawal dilalui. Betapa masa begitu pantas berlalu....

1 Syawal selepas solat raya di surau berdekatan yang diimamkan oleh anakanda Zaid , kami mengambil kesempatan bermaaf-maafan dan bergambar seisi keluarga. Tahun 2002 adalah kali terakhir Zaid beraya di Malaysia. Kemudian kami berkesempatan menziarahi rakan2 karib di 4 buah rumah dan tepat jam 12 tengahari kami kembali ke rumah. Juadah kami di 1 Syawal adalah laksa penang dan sate ayam serta ketupat.

Alhamdulillah seperti tahun2 lalu bila kami tidak beraya dikampung memang ramai sahabat handai yang datang ziarah.

1 syawal bermula dari jam 12 tengahari hingga 5.30 petang seramai 77 tetamu telah hadir dan jam 10 malam tetamu ke 92 meminta diri dan selesai sudah 1 Syawal. Dari 92 tetamu yang hadir ada 12 tetamu yang kami tidak kenal ( kanak2 dari kampung berdekatan ), yang lain semua kami kenal.

2 Syawal seramai 58 tetamu hadir dan saya sediakan 2 periuk besar lontomg dan Alhamdulillah habis semuanya. Dari 58 tetamu , 6 kanak-kanak yang tidak dikenali datang bertandang.

3 Syawal , pagi lagi kami beraya di Kuantan di rumah kakak ipar saya dan kemudian di sebelah petang kembali ke Kemaman beraya di rumah sahabat suami . Tiada tetamu hadir sebab kami seharian tiada di rumah.

Nanti saya akan postkan gambar-gambar semasa raya di rumah kami.

Alhamdulillah meriah raya kami walaupun tidak pulang ke kampung.

4 Syawal ( esok ) kami bercadang ke Kuala Terengganu menziarahi sahabat-sahabat kami di sana dan 5 Syawal sekolah akan dibuka semula ..... selesai sudah musim perayaan dan InsyaAllah akan mulakan puasa enam minggu hadapan.

Salam ceria buat semua......